Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

06 October 2010

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 5

     SAMBUNGAN kisah beg yang aku selongkar bersama dengan Suraya Ibtisam betul-betul buat jantung aku nak terkeluar dari badan! Nak tahu apa isi kandungan barang-barang dalam beg aku yang macam gergasi itu? Mari ikuti kisah ini antara aku, Suraya, ibu dan isi kandung dalam beg misteri itu. Agak-agak ada tak mak korang buat macam ibu aku ini? Ho ho ho

Aku mendial nombor telefon bimbit ibu. Nafas aku turun naik sebab terlalu geram. Aduh! Tak dapat pula nak hubungi! Macam tau-tau sahaja aku nak membebel tahap super saiya! Ada ke patut benda alah ini semua ibu bagi dekat aku? Aisehman! Boleh bengkok semua tulang belulang aku. Lepas itu siap ada nota panjang yang mesti aku ikut. Dengan erti kata lain WAJIB IKUT PERINTAH IBU! Macam diktator pula Puan Besar Zulaikha terhadap anak manjanya yang seorang ini. Kak Safieya! Abang Zarul! Tolong Zarith... Ibu mendera Zarith... Hu hu hu

Aku mengeluarkan segala barang-barang yang ibu dah siap bungkus baik punya untuk kegunaan di hostel. Bilik bukannya besar, tambah lagi lambakan hadiah emas dari ibu yang tercinta. Apalah nasib badan kau yang kembang setaman ini wahai Zarith Sofieya. Dalam diam ibu yang melalak bagai nak rak boleh lagi buat rancangan yang genius lagi hebat! Oh tahap penderaan ala moden yang boleh membuatkan aku menjadi semakin malas.

"Ibu awak sayangkan awak tu. Sebab tu bagi barang-barang ini supaya awak lebih bersemangat! Jangan risau saya akan sokong awak dari belakang walaupun baru hari ini kita berkenalan. Bab-bab makanan biar saya yang buat jadual. Awak kena patuh pada jadual yang ibu awak dan saya buatkan. Tak boleh langgar okey?" Amboi-amboi Suraya pun macam dah berpakat dengan ibu sahaja. Lemah sudah badan-badan aku. Lutut terasa longgar semacam.

Tidak!!!

"Alamak! Kena ikut jadual ke? Kalau tak ikut tak boleh ke? Kesianlah perut saya ni, Aya." Aku meraih simpati. Bab-bab makanan memang aku tak boleh nak ikut jadual. Main belasah ikut suka aku nak makan pukul berapa. Kadang-kadang waktu malam pun aku curi-curi makanan bawa masuk dalam bilik sambil melayari alam maya. Mana ibu tak mengamuk? He he he

Suraya menggeleng sambil jarinya menunjuk arah kiri dan kanan berselang seli. Aku rasa macam nak pitam. Aku memandang ke arah beg lagi satu. Beg yang aku kemas sendiri dan sumbat dengan makanan ringan kegemaran aku. Bila aku buka beg itu terus rasa nak demam! Huwaaaa... Kenapa penuh dengan buku-buku kesihatan?

Ibu!

Aku menarik semua buku-buku itu keluar dari perut beg yang berwarna hijau muda daun pisang. Aku menatap satu-satu :

1. Bagaimana menjalani diet yang seimbang?
2. Rahsia mengikuti jadual pemakanan harian yang terbaik ...
3. Cara-cara senaman yang boleh membakar lemak dengan pantas!
4. Ingin kurus? langsing dan mendapatkan bentuk badan yang ideal...
5. Selulit? Lemak? Selera besar? Mari ikuti rahsia yang boleh membantu anda menjadi kurus!

Huarghhhhh! Buku yang kelima aku baca itu macam nak pijak-pijak sampai lumat! Hilang segala kawalan ayu aku sebentar tadi. Lepas tu siap ada dvd cara-cara membuat senam robik dan yoga yang terselit sebanyak sepuluh set!

Tiba-tiba mata aku terpandang satu objek yang dibungkus dengan cantik. Siap ada reben warna pink lagi! Hadiah apa pula yang ibu bagi? Semacam pula bila tengok rupa bentuk bungkusan ini. Segiempat tempat besarnya.

Mak oiii! Beratnya! Apa kejadah benda alah ini! Aku menarik kad kecil yang bertampal cantik.

"MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA..."

Ikhlas dari Puan Besar Zulaikha dan Tuan Besar Zaharul.

Terbeliak mata aku apabila melihat ucapan yang ringkas tetapi bisa menikam dada. Pedih! Ayah pun subahat bersama dengan ibu rupanya. Cis! Patutlah aku pelik bila tiba-tiba ibu dan ayah rajin betul nak tolong kemaskan semua barang-barang aku. Siap suruh aku pergi jumpa kawan-kawan sekolah. Tak perlu risau pasal beg-beg pakaian aku! Ada agenda besar rupanya! Hiyarkkkk! Aku membuat aksi ala-ala Ultraman!

Nak tahu apa barang-barang yang ibu dan ayah bagi dalam beg gergasi aku? Mari kita tengok senarai di bawah :

1. Dumbell 4 ketul (setiap satu lain-lain berat dia...) - sah ayah yang bagi. Eh! ini bukan abang Zarul punya ke?

2. Kasut joging tiga pasang! - mesti ibu beli baru sekaligus untuk aku! Eh! Bila masa ibu pergi membeli-belah?

3. Satu set badminton - mesti nak suruh kawan satu bilik main badminton petang-petang! Huh! Dekat rumah pun aku malas nak main,melainkan kena paksa dengan Kak Fieya dan Abang Zarul

4. Tikar getah boleh buat senaman yoga - Boleh patah pinggang kalau aku yang buat senaman yoga! Ya Ampun!

5. Tali skipping! - Ibu! Jangan cari pasal. Bergegar semua bangunan Kolej Tun Abdul Rahman nanti!

Ada lagi barang-barang yang ibu sumbatkan bersama, cuma aku dah tak sanggup nak tengok. Serupa macam dekat gym dah aku rasa! Ibu! Oh Ibu! Ayah! Oh ayah! Punyalah semangat nak suruh Zarith Sofieya jadi kurus macam Kak Fieya! Tak comellah Zarith kalau kurus nanti!

Masya'allah! Pitam...pitam... Zarith Sofieya hampir nak tumbang sudah!

Suraya yang dari tadi memerhati tergelak besar melihat gerak geri aku yang tak habis-habis menyelongkar empat buah beg yang dibawa. Beg yang terakhir barulah nampak pakaian aku serta peralatan mandian. Makin longgar lutut aku sebab tak ada satu pun makanan ringan yang ada! Ibu dah keluarkan semuanya! Huwaaaaa... Laparlah Zarith malam-malam nanti! Nasib baik notebook aku ibu tak sorok! Kalau tak kena tinggallah laman-laman web yang aku layari hampir setiap malam.

Suraya menghampiri aku dan menepuk-nepuk bahu aku yang lagi lebar daripada bahu dia. Kalau siapa tak kenal, ingat aku ini makcik Suraya lagaknya! Punyalah besar badan aku! Tapi dalam hati aku amat gembira kerana dikelilingi ahli keluargaku yang tersayang. Ibu sayang aku, ayah sayang aku, Kak Fieya pun sayangkan aku cuma Abang Zarul suka buli aku! He he he...

Bila Kak Fieya dan Abang Zarul nak balik? Zarith rindu sangat nak keluar melepak sama-sama.

"Aya... awak tengoklah ibu dan ayah saya... Punyalah bersemangat nak suruh saya jadi kurus. Ingat senang ke nak kurus. Badan dah kembang setaman ni semua lemak tepu aje yang ada. Susah nak terbakar tau..." Aku mengadu konon-konon Suraya boleh lupakan tugas dia menjadi ketua jadual pemakanan aku. Sekali lagi aku hampa. Suraya tidak termakan rayuan aku. Hu hu hu.

"Kan saya dah cakap tadi, mereka semua sayangkan awak Ofie. Jangan bimbang, kita buat perlahan-lahan. Insya'allah akan berjaya. Kalau awak berjaya kurus, sayalah orang pertama yang akan beri awak hadiah!" Suraya memberikan kata-kata semangat. Macam biasa aku masuk telinga kiri keluar ke telinga kanan. Ho ho ho

"Bagus sangat ke jadi perempuan kurus-kurus? Macam orang takde vitamin saya tengok. Sekali angin bertiup kencang, melayang agaknya badan kan...He he he..." Aku berseloroh sebab malas nak fikir dulu soal kurus mengurus badan. La la la.

"Minggu depan awak dah kena ikut jadual. Muktamad! Jangan cari alasan dan bagi alasan. Sebab saya ni tegas tau orang dia. He he he..." Suraya bingkas bangun dan aku terkedu.

Hah! Minggu depan? Alamak! Penderaan fizikal akan bermula. Habislah aku!

"Minggu depan? Bulan depan tak boleh ke? Bulan lagi satu ke... err... tahun depan ke..." Aku bagi alasan. Suraya berpaling dan tersenyum. Macam biasa dia melentok-lentok jari telunjuknya ke kiri dan kanan. Aku terus pegang perut yang selalu aku manjakan dengan makanan ringan. Aku telan air liur!

"Minggu depan. Muktamad ye Zarith Sofieya."

"Baiklah mak incik Suraya Ibtisam!"

"Kita ni macam dah kawan lama kan... Saya senang berkawan dan berkenalan dengan awak Ofie. Saya harap kita jadi sahabat selamanya. Tak kira susah ataupun senang. Janji?" Aku dan Suraya sudah terbaring di atas katil.

"Saya berjanji. Suraya Ibtisam adalah rakan sejatii saya sampai mati."

"Saya juga berjanji bahawasanya Zarith Sofieya adalah rakan sejati saya sampai mati."

Aku dan Suraya berpelukkan. Drama sungguh! Padahal baru berjumpa pada kali pertama. Persahabatan yang sejati bukan diukur dengan berapa lama tetapi dinilai melalui keikhlasan dan kejujuran. Persahabatan yang berkekalan adalah persahabatan yang sama-sama mengharungi susah dan senang. Tidak ditinggalkan mahupun meninggalkan.

Bermulalah episod persahabatan antara Zarith Sofieya dan Suraya Ibtisam!

0 kata-kata pujaan:

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*