Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

25 December 2010

CERITERA BULAN MADU ~ BAB 4



PERISTIWA larut malam tadi meninggalkan kesan di dalam hatiku. Sedari dari tidur aku lihat katil sudah tiada berpenghuni. Kosong. Selimut berselerakkan dan bantal tidak teratur. Pendengaranku menangkap bunyi siraman air yang mencurah-curah laju. Walaupun aku terasa kemalasan namun tubuh badan ini digagahkan juga untuk berdiri. Bantal peluk aku cium bertalu-talu dan terus ingatanku menerjah arawah mak dan abah. Hati diruntun pilu semula.

Setelah mengemas sofa yang menjadi tempat tidur malamku, lantas diri menuju ke katil utama. Aku menyusun atur bantal dengan rapi. Selimut aku lipatkan dengan kemas. Cadar yang senget benget aku kemaskan mengikut bentuk dudut katil. Kalau ikutkan hati yang marah ini, aku buat tidak tahu sahaja. Biarkan harimau lapar itu mengemas sendiri! Oleh kerana sudah menjadi isteri, maka dengan rasminya aku kenalah bertindak menunaikan kewajipan aku.

Dalam sibuk menyusun atur, mulut aku mengomel-ngomel sendiri.

"Huh! Garang-garang pun tidur macam budak sekolah tadika. Habis berterabur sana sini. Kalau tidak kerana pesanan Kak Long, tak hingin aku nak buat semua ni. Ceh..."

Tanpa aku sedari sesusuk tubuh telahpun berdiri hampir dibelakang tubuhku. Tiba-tiba aku terasa pelik.

"Maafkan abang...malam tadi tu abang tak sengaja marahkan Intan..."

Bahuku disentuh dan terus dipeluk erat, Aku bagaikan terkena kejutan elektrik terus mendiamkan diri dan terkaku apabila diperlakukan sebegitu. Selama ini hanya mak yang rajin peluk aku sebegitu. Airmata mula bergenang.

Cepat-cepat aku menyeka airmata yang hampir penuh ditubir mata. Tidak mahu diriku dilihat lemah sebegini. Aku menolak sopan tangan suamiku dan mula menjarakkan diri. Rasa terkilan dengan kata-katanya masih belum hilang. Inilah pertama kali hatiku terasa begitu sakit. Berdosa aku merasai seperti itu terhadap suami sendiri. Namun apakan daya aku hanya insan biasa. Tidak termampu dan tidak setabah mana seandainya diri ini tidak berjaya mengawal emosi.

"Intan..."

"Tak ape, salah saya jugak agaknya sebab cakap lepas tanpa fikirkan perasaan orang lain. Takde buat penapisan filem ala-ala FINAS buat tu. Saya ni budak kecik mana tahu apa yang awak rasa. Saya hanya fikirkan kepentingan diri sendiri. Maaf..."

Hafiz terasa terpukul dengan kata-kata isteri yang baru nikahinya. Tidak menyangka Intan benar-benar terasa hati di atas tindakannya malam tadi. Intan berlalu menuju ke bilik air tanpa menoleh kebelakang memandang dirinya. Hafiz meraup wajahnya.

Dengan keadaan yang masih bertuala, Hafiz terbaring semula di atas katil. Baharu dia terperasan bahawa tempat tidur telah pun dikemas rapi. Perlahan-lahan Hafiz menuju ke sofa tempat persinggahan Intan malam tadi. Bantal busuk milik Intan dipeluk erat dan dia mengeluh berat.

"Kalau aku kena maki hamun macam itu pun aku terasa hati. Aku ni pun satu kenapalah cepat benar terasa hati... Benda tu pun dah lama berlalu, namun kenapa perkataan itu seperti menjadi duri dalam daging? Nadira... aku masih sayangkan kau. Kenapa kau lukakan perasaan aku? Kenapa sanggup kau pilih Kamal yang merupakan sahabat sejati aku? Mengapa pula aku dituduh sebagai perampas? Manakan cinta antara kita akan bertaut seandainya kau dan aku tidak bertepuk sebelah tangan..."

Intan yang baru sahaja menyegarkan diri terus terdiam dan nafas berombak laju. Hatinya terasa semakin berat apabila terdengarkan keluhan suaminya. Intan memejamkan mata dan terus mendengar kata-kata pilu Hafiz.

"Kamal... aku bukan perampas. Dia menyintai aku dan aku sendiri tidak mampu menolak kerana aku juga menyintai dia. Kenapa Nadira mendiamkan diri dan membuatkan keadaan semakin keruh? Kamal.... Nadira..." Hafiz berterusan mengeluh tanpa disedarinya bahawa Intan sudahpun berdiri tegak di hadapan bilik air.

Intan terasa seperti mahu pitam apabila terdengarkan kata-kata Hafiz. Sangkanya bahawa Hafiz tidak mempunyai teman istimewa namun perkiraanya silap. Kata-kata romantis ketika pembatalan air sembahyang membuatkan Intan terkeliru. Apabila terpandangkan Hafiz bangun dari sofa itu, cepat-cepat Intan masuk semula ke dalam bilik air.

Intan merenung cermin yang terletak elok di hadapan matanya. Dia melihat keadaan diri. Dadanya berombak laju dan airmata mula melimpah keluar. Perasaan dan emaosinya mula tidak menentu.

"Patutlah teruk aku kena marah. Rupanya pasal orang lain, aku jadi mangsa! Teruk betul."

Intan membasuh semula mukanya agar tidak kelihatan seperti orang menangis. Setelah memastikan dirinya seolah-olah tidak mengetahui apa yang berlaku, Intan perlahan-lahan memulas tombol pintu bilik air. Dia menarik nafas panjang dan cuba berlagak tenang.

Keluar sahaja daripada bilik air, Intan mendapati biliknya kosong. Dia bernafas lega kembali.Cepat-cepat menyiapkan diri dan hendak menolong Kak Longnya menyiapkan sarapan pagi. Setelah semuanya rapi Intan keluar daripada bilik. Tertinjau-tinjau kelibat suaminya.

"Fuh! Lega... Nasib baik mamat tu dah turun bawah. Kalau tiadk jenuh aku nak berlakon..."

Berhati-hati Intan turun daripada tangga. Dia menyisir rambutnya yang panjang dan ikal itu dengan jari-jemari kerana masih basah. Sebelum ini dia lebih senang membungkuskan kepalanya dengan tuala sewaktu sarapan pagi. Sudah menjadi kebiasaannya sebelum bersiap-siap untuk ke sekolah.

Terkejut apabila memijak anak tangga yang terakhir. Rupanya Hafiz sudahpun menunggu dirinya dan membuatkan Intan merasa serba tidak kena. Hampir-hampir terjelepok kerana kaki tidak mendarat dengan baik, lantas dirinya diselamatkan oleh Hafiz. Intan termalu-malu dan Hafiz tersenyum.

"Itulah...berangan lagi. Nasib baik abang ada tadi, kalau tidak mesti Intan terjatuh macam nangka wangi kan..."

Aku menjauhkan diri dan terasa sedikit pelik ayat terakhir Hafiz Hadi. Bukan nangka busuk ke?

"Maaflah. Tak sengaja..."

"Selalu pun takpe. Abang suka.."

"Huh..."

Hafiz tersenyum kerana Intan kembali seperti biasa. Kalau marah seperti tadi sudah tentu keluar bahasa indah Intan terhadapnya. Tidak menyangka bahawa Intan ini juga pandai berkata-kata sehingga mengejutkan perasaannya.

Nekad untuk melupakan peristiwa hitam itu dan ingin membuka lembaran baru bersama Intan. Biarlah perlahan-lahan hati lelakinya diubati oleh Intan. Perbalahan antara dia dan Kamal akan difikirkan bagaimana untuk diselesaikan. Hafiz sudah mula merancang untuk membawa Intan berbulan madu. Di sana nanti dia akan luahkan segala-galanya. Tidak mahu berahsia lagi, bimbang Intan akan membenci dirinya. Dalam sedar, sedikit sebanyak dia mula menyayangi Intan.

Intipan yang dilakukan untuk melihat kehidupan seharian Intan telah membuatkan dia bersetuju dengan pilihan ibunya. Rupanya Intan gadis yang agak yang berbeza dengan mana-mana perempuan yang dikenalinya. Biarpun Intan lebih muda daripadanya dan berbeza umur lebih dari sepuluh tahun.

"Terima kasih ibu kerana menemukan Hafiz dengan Intan..."

Hampir sahaja di meja makan, semua yang ada sudah tersenyum-senyum. Intan buat-buat tidak mengerti. Lantas dia duduk di sebelah anak buahnya, Shuhada.

"Seronok?"

"Seronok? Apa yang seronoknya tu Hada?" Intan tidak mengerti dengan soalan Shuhada yang berbeza umur hanya setahun.

"Acik Intan ler... seronok tak jadi pengantin baru?" Shuhada mengusik.

"Eh...eh...budak kecik ni, banyak cakap pulak. Makan ler. Kang Acik Intan lesing kang terus Hada terlekat kat dinding... He he he..."

"Eleh, lesing konon.. Takat Acik Intan yang cekeding ni, Hada hembus aje terus melayang... kan umi kan kan kan..."

Kak Long hanya tersenyum melihat gurauan adik dan anak tunggalnya.

Hafiz yang baru sahaja tiba termanggu-manggu hendak duduk di mana. Matanya tertancap melihat Intan cuba menjauhkan diri dengan mengambil tempat sebelah anak buahnya. Hafiz hanya menggeleng fadan tersenyum.

"Hada...bangun, bagi Acik Hafiz duduk sebelah Acik Intan. Kamu duduk sebelah mama dan tempat duduk arwah babah..."

"Baik umi..."

Hafiz tersenyum lagi. Kakak ipar sulungnya seakan mengerti.

"Acik Hafiz...duduk rapat-rapat dengan Acik Intan tau. Takut termelayang... He he he..." Hafiz tergelak dan mengenyitkan matanya. Kenakalan anak buah barunya itu tidak ubah seperti Intan.

" Eh...eh...budak kecik ni..."

"Bluekkk... Tapi Acik Intan suka kan kan kan... Ha ha ha..."

"Sudah Hada, jangan gelak kuat sangat. Esok-esok kamu pulak kahwin jangan nak duduk bawah ketiak umi lagi..."

"Alah umi ni..."

"Ha ha ha...padan muka Hada."

"Intan, kamu pun sama. Jangan nak melekat kat ketiak Kak Long lagi."

"Erkk...Kak Long ni..."

"Takpe, ketiak Hafiz ni kosong Kak Long..."

Semua yang mendengar tergelak. Intan hampir tercekik mendengar kata-kata itu.

"Eleh..semalam marah-marah. Harini jadi romantika pulak..."

Hafiz masih tersenyum. Rupanya Intan masih lagi terasa hati. Akan dicuba lagi untuk memujuk Intan. Intan nampak sahaja manja tetapi hatinya juga sekeras kerikil. Shuhada mula memerhati pasangan pengantin baru itu. Dia seakan dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Namun Shuhada akan cuba mencari puncanya.

"Marah-marah sayang..." Hafiz menjawab selamba dan membuatkan Intan terasa seperti hendak tercekik lagi. Malas mahu melayan, Intan meneruskan kunyahannya. Sengaja mengunyah makanan secara gelojoh.

"Pssstt...Acik Intan berapa lama tak makan nasi? He he he..."

"Sepuluh tahun..."

"Ha ha ha...Acik Intan buat lawak..."

"Sudah...sudah depan rezeki jangan galak sangat..."

"Alamak Mem besar sudah bertitah..."

Hafiz melihat kemesraan antara Intan dan Shuhada sungguh rapat. Seolah-olah tiada penghalang walaupun hubungan antara makcik dan anak saudara. Mereka sangat kelihatan mesra seperti sahabat baik. Tiba-tiba Hafiz mengeluh panjang apabila teringatkan Kamal. Intan merenungnya.

Hafiz berpaling dan membuatkan Intan menjadi kelam kabut. Shuhada hanya memerhati dan tersenyum-senyum melihat pakcik dan makciknya seperti bermain tarik-tarik tali. Intan memalingkan wajahnya ke arah Shuhada dan melihat anak buahnya tersenyum nakal. Intan mengetap bibir, Shuhada mengejek. Hafiz juga memerhati perilaku Intan. Dia juga tersenyum.

"Minggu depan Hafiz nak bawa Intan pergi bulan madu di Bandung..."

Intan yang terdengarkan cadangan Hafiz hampir tersedak dan cepat-cepat meminum air Nescafe O yang suam-suam panas dengan rakus. Shuhada tergelak melihat aksi kelam kabut makciknya.

"Wow! Acik Hafiz, Hada nak kirim something dengan Acik Hafiz boleh?"

"Boleh... Hada nak kirim apa?"

"Sepupu..."

"Hah! Sepupu? Sepupu mana pulak?" Tiba-tiba Intan menyampuk.

"Sepupu Hada lah..."

"Yelah...takkan anak orang Indonessia tu Acik Intan nak bawak balik pulak? Apalah Hada ni... mintak ntah apa-apa, yang bukan-bukan aje..."

"Intan setujulah kita pergi bulan madu dekat Bandung? Tak sabar pulak abang rasa nak pergi bersama Intan."

"Hah! Erkkk...errr...errr..." Intan kehilangan kata-kata dan Hafiz tersenyum galak.

"Ingat tau Acik Intan....Acik Hafiz...Hada nak sepupu bila Acik berdua balik dari Bandung... La la la..." Shuhada tersenyum riang dan uminya seakan mengerti usikkan itu turut sama tergelak kecil.

Kenakalan puteri tunggalnya membuatkan dia merindui suasana bersama arwah suaminya. Cepat-cepat dia menggosokkan mata. Pemergian arwah suaminya serta kedua orang tuanya begitu merobek rasa namun digagahi jua untuk menjadi tabah. Itu takdir yang perlu dia tempuhi.

"Insya'allah Hada... Acik Hafiz tak janji tapi Acik Hafiz akan cuba. Terpulang jugak pada Acik Intan kita seorang ni. Tu faham ke tidak tu?"

"Good luck Acik Hafiz..."

Intan yang masih tidak mengerti terus menghabiskan makanannya dan meneguk saki baki air yang ada. Selepas itu dia bangkit dari tempat duduknya dan menuju ke sinki. Dibasuh pinggan dan cawannya kemudian diletakkan di atas rak yang berhampiran. Dia menonong menuju ke ruang tamu. Tidak mahu peduli usikkan anak buahnya.

"Entah sepupu siapa yang dia nak ntah. Aku ni berdua aje dengan Kak Long. Mana ada orang lain lagi...tapi apsal kata-kata mamat tu macam pelik pulak bunyi dia eh...?"

Intan membuka suis televisyen lalu mencari beberapa siaran saluran namun tidak berjaya menarik perhatiannya. Telinganya mula berdesing apabila terdengar gelak tawa yang galak dari anak buah, Kak Long dan suaminya. Intan mula tidak duduk senang tiba-tiba teringat rancangan Hafiz untuk berbulan madu. Tidak semena-mena otaknya berfungsi dan dia terasa kecut.

"Sepupu? Bukan ke kalau aku beranak besok Shuhada dengan bayi itu sepupu? Alamak! Tidakkkkkkkk!"

Hafiz, Shuhada dan Kak Long terus berlari keluar apabila terdengar Intan menjerit. Intan baru tersedar terus menekup mulut. Mereka yang melihat perilaku Intan terus tertawa. Intan menghentakkan kaki dan geram dipermainkan anak buahnya yang nakal itu.

1 kata-kata pujaan:

Miss FF said...

ha3.. nakalnya shuhada...

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*