Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

24 October 2010

CERITERA BULAN MADU - BAB 1




Mutiara Kata :

Aku inginkan sebuah kehidupan yang membahagiakan dan bukan kelukaan yang terus berpanjangan. Masih adakah jalan itu untuk aku kecapi bersama sidia yang tersayang? Jika ada, sinarkan cahaya itu di dalam segenap ruang yang gelap dan sunyi.

*******

BAB 1

AKU disatukan dengan lelaki bukan pilihan dihati. Aku turutkan sahaja kemahuan ayah dan ibu. Kata mereka ini adalah wasiat terakhir sebelum mereka berdua menghembuskan nafas terakhir. Aku memberontak di dalam hati namun pasrah pada luaran. Sepasang baju kurung berwarna putih krim disertakan dengan sanggul yang terbentuk rapi. Di atas sanggul itu dicucuk bersama mawar putih dan merah yang segar bugar. Wajahku dioles dengan warna-warna pastel agar kelihatan tidak terlalu menonjol. Jika pasangan lain bahagia meniti alam rumahtangga tetapi tidak aku. Tangisan berlagu sendu aku tahankan bersama gejolak di dalam dada. Wajahku cuba dilakonkan dengan semanis-manisnya.

Aku duduk bersimpuh di atas katil sambil memandang jendela yang terbias dengan pemandangan yang indah. Namun rasa hati tidak seindah kehijauan yang terbentang luas di depan mata. Kelopak mata sedari tadi aku tahankan supaya empangannya tidak pecah. Kehadiran tetamu yang datang aku sambut dengan wajah rela dalam keterpaksaan. Hatiku sakit dan jiwaku meronta perit.

Kenapa mesti aku dijodohkan bersama dia? Siapa dia? Mengapa dia ?

Persoalan yang bermain diminda akhirnya membuatkan aku melepaskan satu keluhan yang berat. Perasaan aku menjadi tidak menentu.

"Aku nikah akan dikau Hafiz Hadi Bin Abdullah dengan Intan Maisarah Binti Abdul Halim dan mas kahwinnya sebanyak RM 80.00 tunai." Tok Kadi memulakan akad nikah antara aku dan sidia.

"Aku terima nikah Intah Maisarah Binti Abdul Halim dan mas kahwinnya sebanyak RM 80.00 tunai." Lancar dan tiada sebarang sekatan suara itu aku dengari dengan jelas. Tiba-tiba dadaku merasa sebak dan berdebar.

"Sah!"

"Sah!"

Status bujang sudah bertukar dalam sekelip mata. Aku tak dapat merasai alam kebebasan di alam remaja! Umur yang masih muda aku telah bergelar isteri orang. Sakitnya hati aku! Aku benci jadi begini! Aku benci! Aku benci! Tiba-tiba airmataku mengalir deras tanpa segan dan silu. Kakak sulungku cepat-cepat menenangkan perasaan aku tatkala itu. Masakan tidak! Umur baru menginjak lapan belas tahun cukup-cukup baru baru lepas menghadapi peperiksaan SPM terus dinikahkan! Tak pasal-pasal nanti orang mengata aku menggatal hendak berlaki!

"Intan...kenapa ni? Ibu mentua kamu nak datang sarung cincin dah tu. Kamu menangis begini apa pula kata orang kampung? Sudah-sudahlah tu..." Kakak sulungku mula memainkan peranan untuk memujuk perasaan aku yang tengah berkecamuk.

"Mata kena tampar dengan nyamuk. Itu yang sakit dan melalak sakan..." Aku memberi alasan yang membuatkan kakak sulung terbeliak dan terus mencubit lenganku.

"Masih sempat lagi buat lawak dia tu. Lap airmata kamu tu. Kejap lagi suami kamu datang untuk upacara pembatalan air sembahyang." Ayat terakhir itu membuatkan mood aku mati secara mendadak semula. Keruh wajahku ketika itu dan kakak sulungku kehairanan.

"Intan...kamu ok?" Kakak sulungku memegang erat jari jemariku yang terhias cantik walaupun tiada ukiran inai. Hanya kemerahan setiap hujung jari sebagai tanda isyarat. Aku bukannya suka hendak ukir mengukir.

"Intak ok Kak Maria. Jangan risau, Intan akan tetap penuhi impian arwah mak dan abah." Aku memeluk kakak sulungku dengan erat. Masih berlinangan airmata yang berbaki ditubir mata.

Pintu bilik diketuk perlahan dan salam diberi aku sambut dengan penuh keikhlasan. Aku melihat ibu mertuaku datang ke arah aku penuh dengan senyuman. Terbias kegembiraaan diwajahnya walaupun hampir dimamah usia. AKu menjadi sayu apabila teringatkan arwah mak.

"Assalamualaikum Intan..." Suara gemersik itu membuatkan hatiku menjadi tercarik dipagut pilu.

"Waalaikumsalam ibu..." Aku menjawab dengan sayu.

"Ibu bawa cincin nikah untuk disarungkan ke jari manis kamu. Sebentar lagi Hafiz akan masuk untuk upacara pembatalan air sembahyang... Kamu dah bersedia?"

Bersediakah aku untuk semua ini? Jawapannya tidak! Tetapi kenapa aku mengangguk?

"Kalau macam itu baguslah. Ibu suka kamu jadi menantu ibu. Impian ibu serta arwah mak kamu tercapai juga walaupun salah seorang antara kami telah tiada. Ibu bersyukur kerana anak ibu dapat juga disatukan bersama dengan kamu Intan... Ibu doakan kebahagiaan kamu dunia sampai akhirat. Kamu jangan bimbang, kehadiran kamu diterima oleh semua pihak."

Tersentak aku mendengar ucapan itu dari ibu mertuaku. Alangkah baiknya ibu mertuaku ini terhadap diriku. Hatiku tiba-tiba menjadi serba salah. Aku mengalirkan airmata sekali lagi ketika tangan itu aku cium dengan penuh kelembutan. Aku tertewas dengan egoku sendiri apabila kelembutan ibu mertuaku menggoyah perasaan yang dingin ini.

Cahaya dari kamera bertubi-tubi mengambil gambarku. Aku hanya tersenyum tawar. Tiba-tiba sesusuk tubuh hadir bersama kelengkapan baju melayu berwarna putih krim yang senada. Aku menelan air liur berulang kali. Perasaan gementar mencemaskan aku yang kini berlagak tenang.

"Assalamualaikum..." Suara garau itu membuatkan detakan jantungku bertambah laju.

"Waalaikumsalam..." Perlahan suaraku membalas dan diikuti dengan kakak sulungku serta ibu mertuaku dan juga beberapa tetamu yang ada bersama.

Semerbak harum pewangi yang mengoncang naluri kewanitaanku. Aku menggeletar ketika jariku dihulurkan di hadapannya. Wajahnya tidak sedikit pun aku pandang. Aku lihat cincin nikah sudah tersarung cantik di jari manisku. Aku teragak-agak ketika ingin mencium tangan suamiku.

Aku terkedu disaat daguku disentuh hebat oleh tangan suamiku dan menaikkan wajahku untuk dipandang. Bebola mataku terpaku apabila melihat wajah bersih milik suamiku. Ada garis senyuman yang bukan dibuat-buat. Dadaku bergetar apabila ubun-ubunku dicium penuh dengan kelembutan. Aku menjadi tak keruan.

"Abang sayangkan Intan..."

Alangkah terkejutnya aku apabila terdengar bisikan itu. Lantas wajahnya aku pandang semula dan mencari pengertian yang tersirat. Suamiku hanya tersenyum dan aku terkeliru. Kami sama-sama memandang antara satu sama lain. Agak lama berkeadaan sebegitu sehinggalah jurukamera meminta kami menuju ke ruang tamu untuk bergambar.

Bahuku disentuh dengan mesra ketika kami bergambar bersama. Aku cuba mengukirkan senyuman. Saat pelbagai aksi yang meminta aku dan suamiku berpeluk, peluh dingin mula menghiasi dahi. Tangan suamiku memegang erat seolah-olah untuk menenangkan perasaan aku.

............

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*