Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

09 August 2010

KERANA ZULIA ZAFIRA : BAB 1


“Pritttt...!”


     WISEL ditiup dengan kuat. Semua yang berlari anak sebentar tadi terus menarik nafas lega. Menandakan waktu “penderaan” sudah tamat. Ada yang termengah. Ada yang tersenyum. Ada yang berkerut. Ada yang bersahaja dan ada pula yang menangis.

“Saya mahu kamu semua balik bersihkan diri. Makan. Bersolat. Selesai semua, tepat pukul tiga petang sila pastikan kamu semua sudah berkumpul. Ingat, siapa lewat akan didenda. Faham?!” Tegas Kamarul yang terkenal dengan kelantangan suara jantannya. Sudah empat semester Kamarul menjadi Presiden Program Orientasi Mahasiswa.

Semua pelajar baru mengangguk tanda faham. Kamarul naik berang. Apabila tiada suara yang menyahut pertanyaannya. Sekali lagi dia bertempik.

“Faham ke tidak kamu semua ni? Bisukah? Tiada satu suarapun yang menjawab pertanyaan saya!” Kamarul menjengilkan mata. Terkulat-kulat pelajar baru apabila diherdik Kamarul.

“Faham!” Semua menjawab dengan penuh semangat. Cuma Zulia sahaja yang bersuara perlahan. Malas mahu melayan perangai Kamarul yang berlagak tak tentu hala. Kalau bukan kerana dia pelajar baru, sudah lama dia angkat kaki dan beredar meninggalkan minggu orientasi yang menyesakkan kepalanya.

Zulia terpaksa bertahan walaupun hatinya menggelegak menahan marah apabila dijerit-jerit seperti orang gila di sebelah telinganya. Kalau diikutkan rasa hati mahu sahaja dia melemparkan kasut sukannya yang kotor itu ke muka Kamarul. Tiba-tiba Zulia tersengih keseorangan dan membuatkan Kamarul menghampirinya.

“Apa yang awak senyum-senyum? Ingat saya buat lawak ke tadi?” Kamarul bersuara lantang dan membuatkan semua pelajar lain memandang Zulia.

“Eh...tak ada apa-apa. Tak tahu kenapa tersenyum. Minta maaf Tuan Kamarul yang mulia.” Laju sahaja jawapan Zulia dan membuatkan pelajar lain tersenyum. Kamarul mula naik berang.

“Kamu seorang sahaja tunggu di sini... yang lain boleh beredar sekarang!” Arah Kamarul. Zulia mula berasa semakin geram dan dipandang sahaja muka Kamarul dengan penuh kebencian.

“Kamu ingat kamu ini siapa nak tunjuk sikap macam tu dengan saya? Kamu ingat kamu dah cukup dewasa? Kamu ingat kamu hebat?” Kamarul menjengilkan matanya yang tajam sambil berjalan mengelilingi Zulia.

“Kenapa diam? Jawablah!” Kamarul menjerit. Geram dia melihat pelajar perempuan itu sudah mula berani melawannya. Sikap begini membuatkan Kamarul semakin galak untuk menjadikannya bahan gurauan. Zulia mengetap bibir mugilnya. Tidak semena-mena dia didenda.

“Maafkan saya. Saya tidak sengaja tadi. Saya berjanji tak akan berkata apa-apa lagi dan akan mengikut segala arahan.” Laju sahaja Zulia memberikan alasan yang tidak terlintas langsung dari hatinya. Kamarul tersenyum kerana Zulia sudah mula kelihatan takut kepadanya. Pada hakikatnya Zulia sedikit pun tidak hairan dengan Kamarul tetapi dia harus bersabar.

“Bagus kalau kamu sudah sedar. Saya akan memerhatikan kamu dalam tempoh seminggu ini. Kalau ada perangai kamu yang menyakitkan mata saya, kamu akan saya denda dengan lebih teruk. Faham!” Sekali lagi Kamarul menjerit dan Zulia terasa berdesing.

“Sekarang kamu boleh berambus! Ingat kalau kamu lambat nahas kamu. Pergi!” Kamarul menghalau. Zulia mengorak langkah dan terpaksa berlari anak untuk mengejar masa. Dari kejauhan dia menoleh dan melihat wajah Kamarul yang sedang bergelak ketawa bersama rakan-rakannya. Zulia nekad. Suatu hari nanti dia akan mengenakan Si Kamarul Monyet. Itu gelaran yang akan melekat dalam mindanya. Dia mula tersenyum dan sedang merancang sesuatu. Akan tiba masanya nanti untuk melunaskan pembalasannya terhadap Kamarul.

“Hari ini hari kau Kamarul Monyet... Esok lusa hari aku pula. Kita akan tengok siapa yang akan malu lebih teruk.” Zulia ketawa dan meneruskan lariannya ke hostel. Dia terpaksa berkejaran untuk memastikan dia tidak terlewat. Dia akan membuktikan sepanjang tempoh minggu itu dia akan mengikuti segala arahan Kamarul. Dia akan terus berlakon di depan mata Kamarul.

*****

    “RUL...aku tengok kau ni bertegas sangat dengan budak perempuan tadi tu. Rileks lah beb...Janganlah kita garang sangat. Nanti budak-budak baru besar kepala pulak...” Pesan Haizam.

“Alah aku saja nak memainkan budak perempuan tu. Bagi dia takut-takut sikit. Itu je. Lagipun kau sendiri nampak dan dengar dia melawan cakap aku tadi. Apalagi jadi bahan akulah.” Kata Kamarul sambil tersenyum.

“Kau ni...kang tak pasal-pasal pulak budak tu menangis...” Asmira menyampuk.

“Menangis? Itu lagi aku suka. Bahan hiburan untuk sepanjang minggu ni.” Kamarul semakin galak.

“Suka hati kaulah Kamarul. Jangan esok-esok kau asyik termimpi budak perempuan tu sudah...” Ejek Haizam. Kamarul hanya ketawa sambil mengangkat tangannya.

“Jaga kau...” Luahan rasa hati Kamarul. Dia mula merancangkan sesuatu. Pasti rancangan itu akan menjadi peristiwa hitam buat Zulia Zafira. Gadis itu akan menjadi patung hidup mainannya.
Setelah selesai Dewan Budiman itu dikemas dengan rapi. Mereka semua terus menuju ke Dewan Santapan untuk menjamu selera.

*****

     ZULIA masih lagi menunggu giliran membersihkan seluruh badannya yang melekit. Akibat daripada aktiviti yang berjalan dari awal pagi sehingga waktu puncak. Ramai yang berebut-rebut untuk memastikan mereka tidak terlewat. Bimbang akan menjadi mangsa seperti dirinya.

“Nasib malang betul kena mengadap si Monyet tu seminggu ni. Kalau sebulan agaknya lama-lama aku gantung diri dekat tiang lampu.” Zulia mengomel perlahan. Pertama kali dia membenci orang. Kini Kamarul telah menjadi musuh ketatnya. Dia pasti akan membalas dendam terhadap Kamarul yang telah menyakiti hatinya.

Kedua-dua mereka telah mula merancang serangan balas untuk melihat siapa yang akan jatuh ke tangan masing-masing. Keadaan itu pasti akan menggemparkan seluruh kampus Universiti Sains Malaysia. Manakan tidak, Kamarul adalah pelajar senior yang terkenal dengan sikap bulinya. Zulia pula adalah pelajar junior yang masih mentah. Tentu sahaja peperangan di antara mereka mengundang pelbagai andaian.

Usai mandi, terkocoh-kocoh Zulia menyiapkan diri. Nasib baik dalam tempoh datang bulan ini dia mempunyai kelebihan tidak boleh bersolat. Mudah baginya untuk bersiap dengan cepat. Rina dan Yanti sudahpun bersiap-siap.

Mereka sepakat bersama-sama beriringan menuju ke Dewan Santapan untuk mengisi perut yang lapar. Mereka tiga sahabat yang baru sahaja berkenalan.
Yanti yang berasal dari Johor merupakan gadis pemalu dan sentiasa tersenyum. Rina pula merupakan anak kelahiran Pahang merupakan gadis yang ramah dan mesra. Zulia sememangnya berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan seorang gadis yang aktif serta agresif. Kamus hidupnya adalah pantang di cabar. Pasti dia akan menyahut dengan hati yang terbuka.
Masing-masing mengikuti jurusan yang berlainan.

Yanti mengambil jurusan Perakaunan. Rina pula mengambil jurusan Pentadbiran Awam. Zulia lebih meminati bidang Pentadbiran Perniagaan kerana dia bercita-cita ingin memiliki perniagaannya sendiri. Tidak akan berharap makan gaji semata-mata. Baginya rezeki tetap ada di mana-mana seandainya rajin dan terus berusaha.

Selesai makan tengahari Zulia dan rakan-rakannya mula menuju ke Dewan Budiman. Jam menunjukkan baru pukul dua setengah petang. Masih sempat dan yakin tidak akan terlewat. Zulia berasa sangat gembira kerana Kamarul pasti tidak akan berpeluang untuk mengenakan drinya. Tiba-tiba Rina menyapa lembut bahu Zulia dan membisikkan sesuatu. Wajah Zulia mula pucat lesi. Dia terpaksa berlari semula ke hostel untuk menukar baju kurungnya.

“Matilah aku. Habislah kena bahan lagi dengan Si Monyet tu nanti. Aduh! Kenapa boleh jadi begini pulak di saat-saat genting ni...” Zulia mengomel tanda geram. Terlekat darah kotor di bahagian belakang bajunya. Termengah-mengah Zulia memanjat anak tangga setinggi empat tingkat. Berhempas pulas dia membersihkan diri dan kelam kabut menukar pakaian baru. Sepantas kilat Zulia berlari menuju ke Dewan Budiman semula.

Zulia terkedu apabila dia sampai semua orang sudah pun duduk di tempat masing-masing. Zulia mengetap bibir mungilnya sekali lagi dan Kamarul tersenyum lebar. Zulia terpaksa menahan sabar dan malu. Zulia tahu pasti kali ini dia akan menjadi bahan tontonan umum di khalayak ramai. Dia benar-benar sakit hati.

“Semua diam! Zulia Zafira Zainuddin! Ke mari kamu!” Lantang suara Kamarul memanggil namanya. Raut wajah Zulia sudah mula berubah kelat.

0 kata-kata pujaan:

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*