Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

09 March 2012

BOOT BEABOO : BAB 4



MENYESAL aku yang tak ambil nombor telefon mat motor itu. Nasib baik pagi ini papa tak perasan kereta kesayangan dia bercalar sedikit. Dan aku bernasib baik sebab minta tolong dengan Pak Hamid jangan dihebohkan pasal kesan calar itu. Kalau tidak memang papa tengok aku ini kecil sahaja macam pokok tauge untuk dicekik-cekik.

Orang tua tu punyalah bersusah payah mengumpul duit beli tunai kereta BMW berwarna hitam itu. Nasib hitam sebab nampak elegan, kalau pakai warna putih aku rasa papa mesti pitam tengok kereta dia pagi ini.

Oh bila teringat mat motor TZM itu balik, aku jadi geram pulak. Penipu betul mamat motor itu. Konon cakap 'wa bukan bangsa mungkir janji'. Cit podaaaahhh! Kalau aku jumpa motor mamat itu lagi tahulah nasib dia nanti. Tak hilang tayar depan, tayar belakang akan melayang!

Aduh! Pagi ini rasa malas pulak hendak masuk kerja. Papa ini pun satu sengaja bagi aku kerja berat-berat. bagilah aku can rehat lama sikit, ini tidak baru saja jejak kaki sebulan di tanah airku yang tercinta ini sudah dikerah masuk kerja.

"Eh mana kunci kereta aku? Siapa pulak yang hendak perdajalkan aku pagi-pagi buta ini?" Aku mencari-cari sekitar tempat pengantung kunci yang sedia ada di belakang pintu utama. Ini mesti kerja si Amira!

Aku cepat-cepat menuju ke bilik Amira.

"Mira! Kau ambil kunci abang ke? Bak balik!"

"Eh! Bila masa pulak Mira amik kunci kereta sental-value abang tu?!"

"Habis tu takde dekat tempat penyangkut! Semalam kau kutuk kereta abang kan."

"Ah! Kutuk aje tapi tak semestinya nak perdajalkan abanglah!"

"Manalah tahu kau gadai kereta abang tu!"

"Alo bro! Tolong sikit eh Abang Johan. Kalau Mira nak jual kereta abang tu mesti tak laku dekat kawan-kawan Mira tau. Malaslah layan Abang Johan ni, lama-lama boleh tekanan jiwa jadinya."

"Habis takkan kunci kereta abang tu ada kaki!"

"Aduh! Susah betul cakap dengan orang tua inilah. Mira tak ambil. Tepilah Mira nak keluar."

Hati aku rasa macam hendak pecah bila kunci kereta aku hilang. Sudahlah kunci spare tak buat. Akhirnya aku terus melangkah menuju ke tempat letak kereta. Lagi sekali hati aku bagaikan ditumbuk. Kereta pulak hilang!

Aku terus pitam disitu.

**********

AKU mundar mandir dalam bilik. Sekejap-sekejap telefon bimbit ditangan aku renung sambil menatap sekali sekala business card di tangan satu lagi. Aku ragu-ragu hendak menelefon pemilik nombor ini. Jantung berdebar-debar laju bila lihat nama itu. Rasa gelisah semacam sahaja.

"Nak call ke tak...nak call ke tak..."

Aku menarik nafas dalam-dalam untuk mencari kekuatan.

"Bismillahnirrahmannirrahim..."

Aku menekan punat nombor itu dengan kalimah bismillah. Mesti mamat ini akan terperanjat bahawa 'mat' motor yang langgar bontot kereta BMW ini sebenarnya adalah 'minah'.

Tuttt...tutttt..

Hampir lima kali mendial namun panggilan itu tidak berjawab. Ada nada kesal aku disitu. Kalau lagi sekali ini aku mencuba masih juga tidak berjaya, aku malas hendak telefon lagi. Biar dia sendiri yang cari aku pulak. Kalau tak reti-reti nampak missed called tapi tak return memang buat malu sahaja belajar sampai luar negara!

Tiba-tiba aku hampir tersedak bila kedengaran suara perempuan disana. Bini dia ke? Mati aku!

"Hello..."

"Err...Assalamualaikum...boleh bercakap dengan Ashaari?" Hanya aku seorang yang panggil Johan dengan nama belakangnya. Yang lain-lain semua panggil dia Johan.

"Waalaikumsalam. Ashaari tidur. Siapa ni?"

Tidur! Pukul dua belas tengahari masih tidur?! Wah! Hebak!

"Errr..tak mengapalah nanti saya contact dia lagi."

"Ok..."

Talian dimatikan. Kenapa hati aku terasa sangat sakit?

Aku merenung semula business card itu. Kemudian aku koyak-koyakkan menjadi cebisan yang sangat kecil. Kalau hendak sambung balik belum tentu boleh buat! Aku mencampakkan Blackberry diatas katil, kot baling dilantai aku sendiri yang membazir.

Sekarang kena lupakan Johan Ashaari sebab dia sudah berkahwin. Patutlah sudah lama tidak mencari aku! Cis! Sia-sia bagi sedikit ruang dalam hati ini untuk dia. Membazir waktu sahaja tunggu kalau-kalau ada peluang. Senipis kulit bawang pun nan hado!

Aku terus turun ke bawah, tiba-tiba rasa lapar sangat-sangat. Tadi bukan main lagi aku confident cakap dekat mama yang aku kenyang lagi. Yelah kenyang tengok nombor telefon Johan Ashaari! Padan dengan muka aku sendiri.

"Hai Beaboo...tadi mama tanya awak kata dah kenyang. Sekarang lapar tiba-tiba? Anak dara mama ni kenapa?" Mama datang dekat sambil meletakkan tangannya didahi aku.

Panas bukan didahi mama, tapi dalam hati anak mama ini!

"Dia tengah dilamun cintalah tu mama..." Sengaja Abang Badri membakarkan lagi api yang sudah marak. Ini sudah lebih bro!

"Abang pernah rasa makan lauk sardin cap pinggan arcopal tak?" Aku buat loyar buruk.

"Eh! Pernah! Sedap apa..." Abang aku lagi loayr buruk rupanya. Tahulah Majistreet!

"Mama! Tengok Abang ni!"

"Eh! Mama dah lama tengok abang daripada bayi lagi sampailah bujang trang tang tang apa." Mama pun sama jugak lima kali ganda loyar buruknya.

"Huargghh! Babah!" Aku menjerit dan babah seperti biasa akan datang kelam kabutnya mendapatkan aku.

"Apa kena dengan anak dara babah ni?!" Babah sudah mengeluarkan suara lantangnya. Abang Badri mula buat-bauat fokus makan nasi. Mama pulak buat-buat tengok majalah. Terbalik pulak tu!

Aku? Lagilah kecut.

"Err..tak tadi nampak lipas itu yang terjerit panggil babah. Sorry..."

"Hish! Macam-macam betullah anak dara babah sorang ni. Sudahlah balik lewat malam tadi. Lepas tu ada hati nak tipu pulak. Kalau ikutkan hati babah ni Beatrisya Khumaira, sudah lama babah suruh berhenti kerja lepas itu duduk rumah. Biar babah cari calon suami untuk kamu."

Itu dia sekali berdentum apabila babah bersuara. Tapi bila part terakhir itu aku dengar mulalah lutut terasa longgar dan jatuh terduduk.

"Toksah nak berdrama sangat." Babah marah. Aik! Lain macam babah harini. Apa kes? Ini mesti tak dapat pergi mancing.

Biasalah babah hari hujung minggu kalau tak dapat mancing memang tak sah. Adalah tu kawan-kawan dia cancel last minute. Habis satu dalam rumah ini terkena bahang babah. Ini kalau aku ajak pergi mancing karang senyum sampai ke telingalah tu.

"Sorry babah. Jom pergi mancing."

Habis sudah terlepas dimulut. Lain yang hendak aku jawab lain pulak yang keluar. Masak! Masak! Ah! Heret Abang Badri sekalilah!

"Mancing? Tiba-tiba aje?" Amboi terus sejuk dan dingin terus amarah babah. Kan aku dah kata babah dengan mancing memang tidak boleh dipisahkan.

"Abang ni ha...katanya rindu hendak memancing dengan babah dengan Beaboo, takut babah marah dia suruh Beaboo cakap.

"Haa...pukul tiga kita bergerak." Pendek sahaja jawapan babah dan aku takut hendak mengerling ke belakang. Tahu mesti muka Abang Badri merah padam. Ha ha ha...

"Beatrisya Khumaira!"

"Terbaek!" Aku mencecet pergi ke depan. Tadi kononnya lapar, bila kena sergah dengan babah terus lapar menghilang.

*********

SEDAR-SEDAR aku sudah terbaring atas katil dalam bilik aku sendiri. Siapa yang angkat aku tadi? Kepala aku jadi pening sangat-sangat, mana tidaknya terhempas diatas lantai marmar tempat letak kereta.

Kereta?!

Sepantas kilat aku bangun dari pembaringan dan menuju ke luar bilik. Papa dengan Amira sudah duduk bersantai di atas sofa mewah buatan Itali itu. Wah! Anak pengsan dalam bilik papa boleh buat derk! Amira pun satu boleh buat tak reti dengan abang kandung kesayangan dia ini.

"Papa!"

"Amira!"

Papa dengan Amira terkejut apabila terdengarkan juara aku bagaikan lelaki kepit! Maklumlah bla pening-pening lalat mula lah hormon diri aku ini tidak stabil. Sungguh! Aku bukan lelaki kepit ok!

"Apa kena dengan kamu ini Johan? Tak reti panggil elok-elok? Papa hantar kamu belajar luar negara ambil benda yang membawa kebaikkan. Bukan sikap kurang ajar macam ini! Kalau papa kena sakit jantung tadi macam maa?"

Tipikal orang kaya, asal mewah sakit jantung. Asal sakit jantung sahaja, orang kaya. Erkkk!

"Johan nak tanya, kereta kancil Johan mana? Siapa yang bawak kereta Johan tu?" Suara aku mula kendur. Tidaklah seperti terkepit tadi. Hormon sudah baik pulih semula.

"Papa dah jual."

"Apa! Papa...sampai hati papa...."

"Johan, kita ni orang berkedudukan. Ada status. Ada pangkat! Kamu jangan nak malukan papa Johan dengan bawa kereta buruk kamu ke hulu hilir. Sakit telinga papa bila rakan-rakan perniagaan papa kata anak bujang papa ini sengkek ke sampai tak mampu beli kereta mewah?! Kamu kena ingat Johan, kita bukan di zaman sepuluh tahun dahulu. Ingat Johan! Kamu kena jaga nama baik papa kamu ini!"

Amira yang berada disebelah papa mula terkeruk sana sini. Itu tandanya orang akan rasa bersalah. Aku merengus kasar!

"Papa...itu kereta hasil duit tabung Johan papa..."

"Duit itu dari siapa?"

"Dari Johan sendiri."

"Kamu bekerja?"

"Tak..."

"Tiap-tiap bulan siapa masukkan dalam akaun kamu waktu belajar dikolej dahulu?"

"Papa..."

"Jadi beli kereta pakai duit siapa?"

"Papa..."

"Jadi siapa yang berhak untuk jual kereta itu?"

"Papa..."

"Bagus! Sekejap lagi kita keluar beli sahaja kereta baru. Kamu beli BMW macam papa!"

Ini yang payah kalau jadi anak hartawan. Urusan hidup diatur-aturkan. Nasib baik anak seluar papa tak aturkan jugak. Waktu macam ini aku rindu dengan arwah mummy. Kalau dahulu mummy yang banyak sabarkan papa. Sejak mummy pergi lima tahun dahulu, papa menjaga aku dan Amira macam bala tentera sahaja. Itu ini semuanya diaturkan, bila aku suruh kahwin lagi katanya tak mahu. Masih terngiang-ngiang suara mummy dicuping telinga.

BMW! Baharu aku teringat mat motor itu? Lu memang bangsa mungkir janji mat!

"Johan Ashaari! Kamu dengar tak papa cakap apa tadi?"

"Dengar Tuan Komander! Saya menurut perintah. Saya naik ke bilik dulu Tuan Komander."

"Johan Ashaari!"

"Maaf Tuan Komander, esok kita pergi beli kereta. Kepala saya masih pening." Aku terus pusing 360 darjah dan berlari masuk bilik.

Papa itu dalam rumah pun kalau bercakap sama macam dalam bilik meeting gamaknya!

Sampai salam bilik aku tercari-cari telefon bimbit aku. Mana pulak aku letakkan Blackberry warna putih aku? Bersepah-sepah bilik aku kerja hanya kerana sebuah Blackberry. Manalah tahu masa aku pengsan tadi mamat itu telefon ke kan.

Last-last aku jerit panggil Amira.

Belari Johanna Amira menuju ke bilik aku. Adik perempuan aku ini memang penakut sikit. Lagi satu dia kena datang cepat kalau aku sudah terjerit sebegitu. Patutlah, aku pun sama macam papa!

"Apa?!"

"Mana telefon abang!"

"Ada ini. Mira dah jadi macam operator telefon tak bebayar tahu!"

"Siapa suruh ambil?"

"Habis tu biar sahaja telefon abang itu terbiar dekat garage kereta? Nanti pecah berderai pengsan pulak sepuluh hari!"

"Ok! Terima kasih! Ada siapa-siapa called? Ada tak seorang mamat called cari abang?"

"Ada...tapi..."

"Tapi apa? Mira ambil kesempatan mengorat mamat TZM itu ke?!" Sukahati aku sahaja serkap jarang. Amira ini aku kena tegas sikit. Maklumlah adik perempuan, mummy tinggalkan wasiat perhati dan jaga Johanna Amira elok-elok. Inilah masanya untuk aku berpangkat Komander pulak! Haih.

"Hekeleh! Sukahati cakap macam tu pulak! Bukan mamatlah tapi minah! Tapi amcma takut-takut aje minah tu. Bila Mira tanya siapa, dia cepat-cepat letak telefon tanpa bagitau nama. Kalau ikutkan tadi Mira pecahkan aje Blackberry abang ni. Baru padan dengan muka abang!"

"Minah?"

Amira memberikan telefon bimbit aku dan terus berlalu pergi. Minah mana pulak yang call aku? Setahu aku, hanya nombor ini rakan-rakan lelaki sahaja tahu. Kalau perempuan, adik aku seorang sahaja. yang lain semua aku beri nombor lagi satu. Business card aku pun hanya orang tertentu sahaja dapat.

Ke mamat motor TZM ni sengaja suruh awek dia call aku dan pasang jerat? Melampau betul! Tengoklah kalau aku jumpa memang aku siat-siat seat motor TZM mamat ini!

**********

0 kata-kata pujaan:

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*