Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

Showing posts with label MPZS. Show all posts
Showing posts with label MPZS. Show all posts

10 October 2010

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 6

    PUNYALAH sedap aku membuat tahi mata kering setelah penat mengangkat dan mengemas semua barang-barang yang begitu mengejutkan. Konon hendak membelek kesemua buku-buku yang ibu aku 'bekalkan' sepanjang berada di kolej. Baru baca helaian pertama, mata aku automatik menjadi kuyup. Aku gosok-gosok sekali siaran terpadam. Hitam! Gelap! Cuma ada bintik-bintik macam bintang yang bersepah-bersepah di kaki langit. Tipu kalau kata kosong!. Sedap aku bergelimpangan di atas katil yang memberi berjuta-juta kenikmatan. Ibu suruh baca buku haram aku buat air liur basi!

Bak kata dalam buku kesihatan yang aku sambung baca, ada mengatakan bahawa kekerapan tidur di waktu petang boleh membuatkan seseorang iu bertambah kembang! Bukan aku yang kata ya! Buku yang ditulis begitu. Tambahan lagi, tidur petang boleh membuatkan muka menjadi sembab. Otak pula akan menjadi lembab!

Sekejap! Sekejap! Lembab! Ouch! Terkena aku sebiji!

Aku tutup semula buku itu dan cepat-cepat aku menuju ke cermin dinding. Membelek-belek muka aku. Sah! Sembab. Aduh! Menyesal pula tidur petang-petang! Tapi tadi aku sudah hilang tenaga dan daya untuk membuka mata. Jadi gunakanlah peluang yang ada. Betul tak kawan-kawan? He he he.

Eh! Baru aku perasan yang aku berada di dalam bilik seorang diri. Mana si rakan sebilik aku? Aya! Di mana kamu?

"Alamak! Terlaparlah pulak! Itulah ibu aku ni, kalau ada makanan ringan boleh juga jadikan bahaman aku! Nak keluar malaslah pulak. Mana Aya ni?" Aku menjenguk ke luar tingkap. Ramai yang duduk melepak di penjalan kaki. Macam dekat SOGO dan KLCC pula aku tengok diaorang semua sedap melepak. Pakaian?Macam-macam ada! Kalaulah aku ini lelaki, mahu jadi buta mata aku. Mana tidaknya, ada yang selamba pakai seluar pendek sampai paras peha. Bajunya pula bertali halus. Boleh jatuh iman kalau lelaki yang memandang!

Hebat! Hebat!

Aku mengambil keputusan untuk mandi membersihkan badan yang agak melekit. Walaupun sebesar-besar alam badan aku, nasib baik bukan jenis yang berbau. Aku kalau mandi bukan cukup satu jam! Mahu merangkak sampai dua jam! Patutlah bil air dekat rumah melambung! Aku punya kerja rupanya. Ibu membebel kata aku mandi mengalahkan Puteri bersiram!

Sedang elok lenggang kangkung menuju ke bilik air, bahu aku dilanggar. Menyirap darah aku! pantang kalau orang terlanggar lepas itu buat tak tahu. Kalau aku, terlanggar orang cepat-cepat minta maaf. Ini tidak! Selamba tapir kurus buat bodoh. Ini boleh mendatangkan kemarahan beta!

"Hallo...hallo... Dah terlanggar bahu orang minta maaflah balik. Ini tak, buat pandai aje." Aku menyindir tanpa melihat muka gadis itu. Selepas habis ayat aku dilontarkan, kedengaran yang sedikit menyakitkan telinga. Macam pernah aku dengar suara ini...

"Kurang ajar punya anak gajah! Kau yang patut hormat bila terserempak dengan senior tau!" Gadis itu mengherdik macam dia orang yang paling hebat. Tak kecut pun aku!

"Eh! eh...dia yang langg... Eh! Minah petai ni rupanya. Patutlah macam pernah dengar suara macam buaya tercekik dahan kayu (ada ke pepatah ni? tibai ajelah labu)." Aku berpusing dan nak sambung syarahan tak iktiraf aku pada minah sumbang ini. Sekali aku tengok muka dia, rupanya pembantu pendaftaran pelajar baru. Patutlah berlagak!

"Kau ni dah melampau tau anak gajah. Kau ingat badan kau sebesar alam ni aku takut! Kau belum kenal siapa aku dekat sini. Baik kau mintak maaf sebelum aku perhatikan kau dengan lebih ketat!" Minah petai ini berani betul dia nak gertak aku! Nama sahaja sedap Amy Haneyza tapi mulut macam longkang! Agaknya bau longkang pun tak ada seperti mulut dia! Nama sahaja senior tapi tak ada nilai-nilai murni. Huh!

"Kau ingat kau siapa? Setakat senior satu semester tak payahlah nak berlagak. Lagi satu, bukan aku dah suruh kau pakai Listerine ke? Apasal makin busuk bau petai dekat mulut kau ni? Tak gosok gigi eh?" Punyalah selamba taiko aku menyindir. Minah petai ni muka dia dah merah padam dan kelat macam getah mangga. Padan muka! Mulut aku jangan memain kalau dah lancang! Kalah mulut ibu aku dekat rumah! Ini Zarith Sofieya Binti Zaharul. Tidak takut pada ancaman macam tahi kucing!

"Setan!"

"Lantak kau lah nak panggil aku apa pun sebab memang mulut kau jenis macam mulut biawak longkang! Daripada aku layan kau, baik aku pergi memanjakan diri. La la la..." Itulah cakap lagi bukan-bukan dekat aku. Sekali kena berkali ganda aku lemparkan ayat-ayat manis.

Amy Haneyza merampas baldi yang penuh dengan alatan mandi Zarith Sofieya dan terus melemparkan ke bawah. Zarith terkedu dan tiba-tiba lampu hijau Zarith hampir ke warna merah. Dia mengawal kembali nafas barannya perlahan-lahan. Malas nak silambam perempuan kurus yang sudah tentu akan lembik dikerjakan nanti. Amy Haneyza tersenyum sinis. Zarith menjeling dan berlalu pergi masuk semula ke dalam bilik.

Suraya yang menyaksikan pertengkaran itu jatuh kasihan melihat Zarith dibuli secara terang-terangan. Mahu membantu tetapi dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Suraya hanya memerhatikan perlawanan mulut siapa paling berbisa sehingga tamat. Suraya melihat Zarith yang mengalah dahulu! Bagus Zarith kerana berupaya melawan kemarahanmu dan menunjukkan bahawa kau bukan seorang berperangai seperti kebudak-budakkan.

Suraya menuju ke bilik sambil terukir senyuman di baris bibir mungilnya. Suraya yang baru pulang dari membeli makanan selepas melihat Zarith tertidur dengan lena. Dia malas mahu mengejutkan Zarith yang tengah sedap beradu. Amboi! Zarith! Macam mana nal kurus kalau asyik tidur! Suraya mengetuk pintu perlahan dan Zarith membuka dengan mata terbeliak.

"Aya! Awak pergi mana? Risau saya tau.."

"Saya pergi beli makanan untuk kita berdua. Tadi awak tengah sedap tidur malas saya nak kacau. Sabar ye Zarith..."

"Sabar? Tak faham?" Terserlah kelembapan kau Zarith. Itulah tidur petang lagi selepas waktu Asar!

"Kes awak tadi. Jom kita sama-sama pergi kutip barang-barang awak yang kena campak ke bawah." Suraya menarik tanganku dan aku tersengih seperti kerang wangi. Eh! Kerang busuk tapi bukan kerang longkang!

"He he he... Awak nampaklah tadi ye. Lantaklah perempuan mereng tu. Nanti saya cerita kenapa saya boleh perang mulut dengan minah petai tu." Zarith tergelak kecil dan Suraya mengerut dahi.

"Minah petai?"

"A'aaa minah petai. Eh! Lepas makan malam nanti, aku ceritakan. Jom turun bawah." Zarith menarik semula tangan Suraya. Mereka beriringan turun ke bawah dan berjalan menuju ke tepi blok Asrama Mawar. sampai di situ kami sama-sama menggeleng dan terus mengutip barang-barang yang masih boleh dipakai. Nasib baik berus gigi ada penutuup kepala berus dia. Kalau tidak selamat ke bakul sampah aku buang. Cuma botol shampoodan mandian aku sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Terpaksalah pinjam alatan mandi Suraya Ibitisam. Zarith mahu membalas dendam. Berlegar-legar idea di dalam fikirannya untuk memulangkan paku buah keras terhadap Amy Haneyza!

Kau tahulah nanti!

06 October 2010

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 5

     SAMBUNGAN kisah beg yang aku selongkar bersama dengan Suraya Ibtisam betul-betul buat jantung aku nak terkeluar dari badan! Nak tahu apa isi kandungan barang-barang dalam beg aku yang macam gergasi itu? Mari ikuti kisah ini antara aku, Suraya, ibu dan isi kandung dalam beg misteri itu. Agak-agak ada tak mak korang buat macam ibu aku ini? Ho ho ho

Aku mendial nombor telefon bimbit ibu. Nafas aku turun naik sebab terlalu geram. Aduh! Tak dapat pula nak hubungi! Macam tau-tau sahaja aku nak membebel tahap super saiya! Ada ke patut benda alah ini semua ibu bagi dekat aku? Aisehman! Boleh bengkok semua tulang belulang aku. Lepas itu siap ada nota panjang yang mesti aku ikut. Dengan erti kata lain WAJIB IKUT PERINTAH IBU! Macam diktator pula Puan Besar Zulaikha terhadap anak manjanya yang seorang ini. Kak Safieya! Abang Zarul! Tolong Zarith... Ibu mendera Zarith... Hu hu hu

Aku mengeluarkan segala barang-barang yang ibu dah siap bungkus baik punya untuk kegunaan di hostel. Bilik bukannya besar, tambah lagi lambakan hadiah emas dari ibu yang tercinta. Apalah nasib badan kau yang kembang setaman ini wahai Zarith Sofieya. Dalam diam ibu yang melalak bagai nak rak boleh lagi buat rancangan yang genius lagi hebat! Oh tahap penderaan ala moden yang boleh membuatkan aku menjadi semakin malas.

"Ibu awak sayangkan awak tu. Sebab tu bagi barang-barang ini supaya awak lebih bersemangat! Jangan risau saya akan sokong awak dari belakang walaupun baru hari ini kita berkenalan. Bab-bab makanan biar saya yang buat jadual. Awak kena patuh pada jadual yang ibu awak dan saya buatkan. Tak boleh langgar okey?" Amboi-amboi Suraya pun macam dah berpakat dengan ibu sahaja. Lemah sudah badan-badan aku. Lutut terasa longgar semacam.

Tidak!!!

"Alamak! Kena ikut jadual ke? Kalau tak ikut tak boleh ke? Kesianlah perut saya ni, Aya." Aku meraih simpati. Bab-bab makanan memang aku tak boleh nak ikut jadual. Main belasah ikut suka aku nak makan pukul berapa. Kadang-kadang waktu malam pun aku curi-curi makanan bawa masuk dalam bilik sambil melayari alam maya. Mana ibu tak mengamuk? He he he

Suraya menggeleng sambil jarinya menunjuk arah kiri dan kanan berselang seli. Aku rasa macam nak pitam. Aku memandang ke arah beg lagi satu. Beg yang aku kemas sendiri dan sumbat dengan makanan ringan kegemaran aku. Bila aku buka beg itu terus rasa nak demam! Huwaaaa... Kenapa penuh dengan buku-buku kesihatan?

Ibu!

Aku menarik semua buku-buku itu keluar dari perut beg yang berwarna hijau muda daun pisang. Aku menatap satu-satu :

1. Bagaimana menjalani diet yang seimbang?
2. Rahsia mengikuti jadual pemakanan harian yang terbaik ...
3. Cara-cara senaman yang boleh membakar lemak dengan pantas!
4. Ingin kurus? langsing dan mendapatkan bentuk badan yang ideal...
5. Selulit? Lemak? Selera besar? Mari ikuti rahsia yang boleh membantu anda menjadi kurus!

Huarghhhhh! Buku yang kelima aku baca itu macam nak pijak-pijak sampai lumat! Hilang segala kawalan ayu aku sebentar tadi. Lepas tu siap ada dvd cara-cara membuat senam robik dan yoga yang terselit sebanyak sepuluh set!

Tiba-tiba mata aku terpandang satu objek yang dibungkus dengan cantik. Siap ada reben warna pink lagi! Hadiah apa pula yang ibu bagi? Semacam pula bila tengok rupa bentuk bungkusan ini. Segiempat tempat besarnya.

Mak oiii! Beratnya! Apa kejadah benda alah ini! Aku menarik kad kecil yang bertampal cantik.

"MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA..."

Ikhlas dari Puan Besar Zulaikha dan Tuan Besar Zaharul.

Terbeliak mata aku apabila melihat ucapan yang ringkas tetapi bisa menikam dada. Pedih! Ayah pun subahat bersama dengan ibu rupanya. Cis! Patutlah aku pelik bila tiba-tiba ibu dan ayah rajin betul nak tolong kemaskan semua barang-barang aku. Siap suruh aku pergi jumpa kawan-kawan sekolah. Tak perlu risau pasal beg-beg pakaian aku! Ada agenda besar rupanya! Hiyarkkkk! Aku membuat aksi ala-ala Ultraman!

Nak tahu apa barang-barang yang ibu dan ayah bagi dalam beg gergasi aku? Mari kita tengok senarai di bawah :

1. Dumbell 4 ketul (setiap satu lain-lain berat dia...) - sah ayah yang bagi. Eh! ini bukan abang Zarul punya ke?

2. Kasut joging tiga pasang! - mesti ibu beli baru sekaligus untuk aku! Eh! Bila masa ibu pergi membeli-belah?

3. Satu set badminton - mesti nak suruh kawan satu bilik main badminton petang-petang! Huh! Dekat rumah pun aku malas nak main,melainkan kena paksa dengan Kak Fieya dan Abang Zarul

4. Tikar getah boleh buat senaman yoga - Boleh patah pinggang kalau aku yang buat senaman yoga! Ya Ampun!

5. Tali skipping! - Ibu! Jangan cari pasal. Bergegar semua bangunan Kolej Tun Abdul Rahman nanti!

Ada lagi barang-barang yang ibu sumbatkan bersama, cuma aku dah tak sanggup nak tengok. Serupa macam dekat gym dah aku rasa! Ibu! Oh Ibu! Ayah! Oh ayah! Punyalah semangat nak suruh Zarith Sofieya jadi kurus macam Kak Fieya! Tak comellah Zarith kalau kurus nanti!

Masya'allah! Pitam...pitam... Zarith Sofieya hampir nak tumbang sudah!

Suraya yang dari tadi memerhati tergelak besar melihat gerak geri aku yang tak habis-habis menyelongkar empat buah beg yang dibawa. Beg yang terakhir barulah nampak pakaian aku serta peralatan mandian. Makin longgar lutut aku sebab tak ada satu pun makanan ringan yang ada! Ibu dah keluarkan semuanya! Huwaaaaa... Laparlah Zarith malam-malam nanti! Nasib baik notebook aku ibu tak sorok! Kalau tak kena tinggallah laman-laman web yang aku layari hampir setiap malam.

Suraya menghampiri aku dan menepuk-nepuk bahu aku yang lagi lebar daripada bahu dia. Kalau siapa tak kenal, ingat aku ini makcik Suraya lagaknya! Punyalah besar badan aku! Tapi dalam hati aku amat gembira kerana dikelilingi ahli keluargaku yang tersayang. Ibu sayang aku, ayah sayang aku, Kak Fieya pun sayangkan aku cuma Abang Zarul suka buli aku! He he he...

Bila Kak Fieya dan Abang Zarul nak balik? Zarith rindu sangat nak keluar melepak sama-sama.

"Aya... awak tengoklah ibu dan ayah saya... Punyalah bersemangat nak suruh saya jadi kurus. Ingat senang ke nak kurus. Badan dah kembang setaman ni semua lemak tepu aje yang ada. Susah nak terbakar tau..." Aku mengadu konon-konon Suraya boleh lupakan tugas dia menjadi ketua jadual pemakanan aku. Sekali lagi aku hampa. Suraya tidak termakan rayuan aku. Hu hu hu.

"Kan saya dah cakap tadi, mereka semua sayangkan awak Ofie. Jangan bimbang, kita buat perlahan-lahan. Insya'allah akan berjaya. Kalau awak berjaya kurus, sayalah orang pertama yang akan beri awak hadiah!" Suraya memberikan kata-kata semangat. Macam biasa aku masuk telinga kiri keluar ke telinga kanan. Ho ho ho

"Bagus sangat ke jadi perempuan kurus-kurus? Macam orang takde vitamin saya tengok. Sekali angin bertiup kencang, melayang agaknya badan kan...He he he..." Aku berseloroh sebab malas nak fikir dulu soal kurus mengurus badan. La la la.

"Minggu depan awak dah kena ikut jadual. Muktamad! Jangan cari alasan dan bagi alasan. Sebab saya ni tegas tau orang dia. He he he..." Suraya bingkas bangun dan aku terkedu.

Hah! Minggu depan? Alamak! Penderaan fizikal akan bermula. Habislah aku!

"Minggu depan? Bulan depan tak boleh ke? Bulan lagi satu ke... err... tahun depan ke..." Aku bagi alasan. Suraya berpaling dan tersenyum. Macam biasa dia melentok-lentok jari telunjuknya ke kiri dan kanan. Aku terus pegang perut yang selalu aku manjakan dengan makanan ringan. Aku telan air liur!

"Minggu depan. Muktamad ye Zarith Sofieya."

"Baiklah mak incik Suraya Ibtisam!"

"Kita ni macam dah kawan lama kan... Saya senang berkawan dan berkenalan dengan awak Ofie. Saya harap kita jadi sahabat selamanya. Tak kira susah ataupun senang. Janji?" Aku dan Suraya sudah terbaring di atas katil.

"Saya berjanji. Suraya Ibtisam adalah rakan sejatii saya sampai mati."

"Saya juga berjanji bahawasanya Zarith Sofieya adalah rakan sejati saya sampai mati."

Aku dan Suraya berpelukkan. Drama sungguh! Padahal baru berjumpa pada kali pertama. Persahabatan yang sejati bukan diukur dengan berapa lama tetapi dinilai melalui keikhlasan dan kejujuran. Persahabatan yang berkekalan adalah persahabatan yang sama-sama mengharungi susah dan senang. Tidak ditinggalkan mahupun meninggalkan.

Bermulalah episod persahabatan antara Zarith Sofieya dan Suraya Ibtisam!

05 October 2010

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 4


     TERMENGAH-MENGAH Zarith Sofieya mengangkat kesemua barang-barangnya. Walaupun nampak seperti gagah perkasa namun tetap merasa keletihan. Silap aku juga sebab tak periksa apa yang Puan Besar Zulaikha sumbat ke dalam beg. Aku terasa macam angkut manusia pun ada. Sekali orang pandang beg dan tubuh badan aku sudah hampir sama saiz. Ish ish ish. Zarith cepat-cepatlah kau jadi kurus ya! Makanan semua kena catu.

Berpeluh keringat dahi aku heret semua beg-beg yang ada. Ibulah punya pasal sampai tiga buah beg besar ibu isi barang-barang. Macam halau anak dari rumah pun ada! He he he. Agaknya beg ini kalau aku lambung ke bawah silap haribulan ada yang koma. Ibu... ibu... Macamlah Zarith tak balik ke rumah!

Sampai depan bilik aku pulas tombol yang berwarna emas kekuningan. Pintu nampak masih cantik warnanya. Hostel baru buka agaknya.

"Eh! Kenapa tak boleh pulas pulak tombol pintu ni? Oh! Berkunci, patutlah..." Aku pun satu bengong juga. Memanglah tak boleh pulas kalau dah sah-sah berkunci. Aku teraba-raba kunci di dalam beg sandang. Tak jumpa walaupun habis semua dalam beg itu aku selongkar. Berterabur barang atas lantai depan pintu. Lepas tu aku seluk dalam poket baju kurung. Tak ada! Tisu yang berkepul-kepul untuk lap airmata adalah! Aku tenangkan diri dan mengingati semula kotak memori.

Kunci... Kunci... Mana aku letak kunci tadi lepas mendaftar.

"Alamak! Lupa mintak dekat minah petai tadi tu! Matilah aku! Dekat mana aku nak cari minah petai tu? Hostel mana satu dia duduk? Tingkat berapa? Bilik yang mana? Fakulti apa? Senior tahun berapa?" Bermain-main soalan yang tidak henti-henti membebel di bibir comel aku. Macam ibu membebel di rumah. Aku dah pening!

"Adoi! Waktu-waktu begini boleh pulak aku lupa! Arghhhhh!" Tiba-tiba aku menjerit kuat. Bergegar kawasan tingkat dua hostel aku. Macam mana tak menjerit tiba-tiba bahu aku di sentuh kuat. Nasib baik aku tak meloncat-loncat ataupun melatah. Kalau tak mesti aku dah jadi biru kehitaman. Serangan jantung! Aku berpaling dan mengurut dada.

Aku melihat lembaga perempuan yang berwajah polos sambil dikenakan sepasang baju kurung dan bertudung putih tersenyum ke arahku. Alamak! Orang ke hantu ni!Huwarghhhhh! Ibu! Ayah! Zarith takut!

Aku terus melekat di depan pintu dan statik sehingga tidak mampu bergerak. Lembaga perempuan itu terkejut melihat aksi aku dan naik hairan. Kemudian dia tersenyum. Aku pula yang berpeluh hebat. Jantung aku gedebak-gebeduk menahan kecut. Badan yang nampak gagah perkasa pun boleh jadi macam itu! Zarith! Zarith! Ish ish ish

"Awak! Awak ok ke? Jangan takut, saya bukan hantu lah. Saya rakan sebilik awak. Nama saya Suraya Ibtisam Binti Abdul Hamid.... awak?" Lembaga yang aku sangka hantu tadi rupanya seorang pelajar baru macam aku juga. Secara automatik aku tersenyum sumbing dan dia tersengih. Aku pula memperkenalkan diri.

Kusss semangat!

"Saya Zarith Sofieya Binti Zaharul. Pelajar Seni Persembahan Tahun Pertama. Maaflah kalau aksi istimewa saya tadi buat awak terkejut sama. Maklumlah tak biasa keadaan sini. Suraya Ibtisam fakulti mana ye?" Aku tersenyum dan menghulurkan tangan untuk berjabat. Gadis itu menyambut dengan ikhlas. Saiz badan gadis ini dua kali ganda kecil dari aku. Kalau orang lain pandang nampak aku macam gergasi sahaja. Ha ha ha

"Panggil aje saya Aya. Panjang sangat awak nak sebut nama saya. Nanti terbelit pulak lidah. Kebetulan kita dalam fakulti yang sama. Awak kelas mana ye Zarith Sofieya?" Suraya pula memanggil nama penuh aku. Aku tergelak dan tergeleng. Suraya pelik.

"Jangan panggil nama penuh saya Zarith Sofieya nanti lidah awak pulak yang terbelit. Panggil saya Zarith ataupun Ofie. Biasa ibu panggil saya Zarith. Rakan-rakan sekolah dulu panggil Ofie aje. Ikut suka kesenangan awaklah. Saya kelas A3 Seni Persembahan." Aku menerangkan dengan lancar. Hilang teruus rasa takut tadi.

"Oh! kalau macam tu saya panggil awak Ofie, kita satu kelas jugak! Rezeki satu bilik, satu fakulti, satu kelas..."

"A'aaahh...Kebetulan yang tidak terancang. Selamat berkenalan Aya." Aku tersenyum dan terserlah kedua lesung pipi di kedua-dua pipi milik Aya. Comel! Macam aku juga! Ha ha ha.

"Eh kita berdiri depan pintu aje! Marilah masuk sekejap saya cari kunci." Suraya teraba-raba di dalam beg galasnya yang berwarna merah hati. Aku rasa bersalah pula sebab aku yang patut buka pintu bilik sebab sampai awal. Ini sudah terbalik. Zarith... Zarith... Sabar sahajalah!

"Maaf Aya, saya terlupa ambil kunci waktu isi borang pendaftaran tadi." Aku berterus terang daripada melalut cerita lain.

"Tak mengapa Ofie, awak mintaklah kunci dekat penyelia hostel esok. Sementara ni kita pakai kunci saya dulu. Nasib baiklah kita satu kelas, tak lah susah kalau nak balik bersama." Suraya masih lagi tersenyum. Cemburu aku nampak lesung pipi milik Suraya. Agak-agak kalau aku tumbuk pakai lesung batu dekat pipi aku jadi lesung pipi tak? Ha ha ha...

Suraya Ibtisam mengangkat kesemua beg-begnya yang berada di muka pintu. Aku? Heret terus! He he he. Sekejap lagi nak kena selongkar beg-beg aku nak tengok apa benda yang ibu aku sumbat sampai bertan-tan aku rasa. Nak terpatah rasa tulang bahu aku apabila angkat beg yang berat tadi. Agaknya kalau ayah angkat tadi,silap haribulan ayah yang membebel lagi mengancam dari ibu! Hu hu hu...

Selongkar punya selongkar, mata aku terbeliak besar macam nak terkeluar dari soket! Suraya yang berada di tepi katil ternganga mulut tengok isi dalam beg aku yang paling besar sekali. Lepas itu aku terdengar suara Suraya mengekek. Aku rasa macam nak menangis pun ada. Alahai Puan Besar Zulaikha, mati kutu Zarith kalau macam ini gayanya.

Suraya yang dari tadi mengekek kecil bertukar semakin lama semakin nyaring suaranya. Aku rasa macam nak tergelak sama pun ada tapi masih kawal ayu. Malu punya pasal aku buat-buat selamba yaya! Suraya menyentuh bahu aku sambil menggeleng. Aku? Merah padam muka gua!

Ibu! Geramnya Zarith! Patutlah berat nauzubillah beg yang ibu kemaskan! Ada isi ketam dalam mee goreng rupanya! Adoiyai!

Cis! kalau aku kahwin esok entah apa yang ibu bekalkan untuk aku agaknya. Terus aku mencapai beg sandang yang aku campakkan di atas katil. Aku mencari telefon bimbit dan mendail nombor telefon bimbit ibu! Bersyarah panjanglah aku! Hu hu hu

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 3

     MEREKA anak beranak berpelukan dan berjuraian airmata. Drama yang dipertontonkan menarik minat mereka yang lalu lalang di hadapan hostel mahasiswi. Ada yang tersenyum, ada yang tersentuh dan ada yang tergeleng. Kalah drama Samarinda dekat TV3! Maklumlah ibu dan anak bongsu mana boleh berpisah. Macam belangkas walau kemana sahaja. Masing-masing gemar mengusik. Kalau tiada salah seorang pasti rumah itu akan menjadi sunyi dan sepi. Mana tidaknya, tak kedengaran suara ibu memarahi anak dara sunti yang suka bangkit lewat! Tuan Besar Zaharul menggeleng melihat gelagat anak dan isterinya yang tercinta. Bukannya jauh tempat belajar Zarith Sofieya, hanya memakan masa dua jam sahaja kalau jalanraya tidak sesak. Oleh kerana Zarith Sofieya sukar untuk bangun pagi, dia mengambil keputusan untuk tinggal di hostel berbayar yang berdekatan. Walaupun pada awalnya Puan Besar Zulaikha menolak mentah-mentah. Katanya sanggup kejut dan hantarkan Zarith Sofieya ke kuliah setiap hari! Wow!

Mengongoi Puan Besar Zulaikha untuk melepaskan Zarith Sofieya hidup berdikari. Zarith sudah pening kepala melihat keadaan ibunya mengalahkan arwah pelakon Siput Sarawak. Takpun Neng Yatimah! Tapi kalau bab membebel kalah arwah pelakon Siti Tanjung Perak! Hebatkan ibu aku! Ho ho ho. Puas aku memujuk ibu agar belajar menerima anak-anak duduk berjauhan. Setiap kali aku berkata begitu ibu mesti kata kami semua dah tak sayangkan ibu. Pening aku! Bila masa pula aku dan abang serta kakak kata dah tak sayangkan ibu. Kami sayang sangat-sangat pada ibu!

"Sudah-sudahlah tu Puan Besar Zulaikha oi... Anak bongsu awak tu bukan tinggal berjauhan dengan kita pun. Kalau awak susah sangat nak lepaskan si Zarith ni apakata awak tinggal sekali?" Itu dia sesekali Tuan Besar Zaharul bersuara. Aku hanya tergelak kecil dan wajah ibu masam mencuka. Membebel mengatakan ayah tak faham isi hatinya sebagai seorang ibu. Ayah sakit kepala. Manja betul ibu aku! Macam aku juga! He he he...

"Abang tak faham perasaan Ika sebagai ibu. Cuba abang berada di tempat Ika, tentu abang akan rasa macam mana yang Ika rasa tau." Alamak! Ibu dah mula babak sedih dia. Macam mana aku nak cepat kemaskan barang dalam bilik! Hari sudah hampir petang. Esok ada program yang wajib hadir. Aku pula jenis bangsa susah bangun pagi! Bom meletup tepi telinga pun belum tentu aku boleh sedarkan diri.

Ibu menangis dan mengeluarkan airmatanya. Alahai, syahdu betul ibu aku ini ya! Boleh masuk berlakon filem dan boleh menang piala! Ayah hanya tersenyum dan mengenyitkan mata pada aku. Itu macam gaya nak suruh pujuk ibulah gamaknya! Ayah! Geram Zarith! Huwaaa! Bukan senang nak pujuk ibu kalau dia sudah mula berjuraian airmata. Macam inilah dramanya sewaktu menghantar abang dan kakak di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Antarabangsa! Nasib baik aku sambung belajar dalam negara. Kalau aku ikut jejak abang dan kakak mesti ibu pengsan! Ha ha ha

"Zarith tengok ayah tu! Bukannya nak pujuk ibu. Larikan diri pulak. Geram tau ibu! Zarith, tak nak ubah fikiran ke? Berulang alik dari rumah. Duit minyak, belanja dan makan semua ibu boleh tanggung. Sunyilah ibu kalau Zarith takde. Ayah tu pulak asyk sibuk dengan program dia. Siapa nak teman ibu pergi membeli belah, cuci rambut, potong rambut, tengok wayang..." Amboi ibu mengalahkan orang muda! Macam mana ayah tak sibuk program sukan golf dia. Ibu punya program boleh buat ayah jadi bosan. Hu hu hu.

"Aduh! Ibu ni manja betul. Zarith dah janji dengan ibu nak balik setiap hari Jumaat kan? Hari Sabtu dan Ahad kita masih boleh keluar sama-sama. Ibu janganlah risau, Zarith akan jadi eskot ibu macam selalu. Masa lepas sekolah lain lah sebab Zarith tak bekerja. Setiap hari boleh teman ibu. Ini Zarith dah sambung belajar, hujung minggu aje Zarith dapat temankan ibu." Aku pula yang mula nak naik jadi haru biru. Ibu! ibu... Manja sangat dengan Zarith. Tengok perangai ibu sudah turun sekali dalam diri Zarith. He he he

"Janji tau setiap kali hari Jumaat lepas kuliah Zarith mesti terus balik rumah. Ibu suruh pakai kereta Zarith tak mahu."

"Makin kembanglah anak ibu kalau setakat nak berjalan sepuluh minit ke dewan kuliah naik kereta. Ibu jugak yang suruh Zarith kurus kan? Inilah masanya. Kalau Zarith dah kurus mesti ibu terkejut tengok Zarith! He he he..." Aku mengusik dan ibu sudah mula tersenyum. Kacang kalau nak pujuk ibu.

"Yelah...yelah. Ibu ikutkan kehendak Zarith. Hujung minggu ni ada cerita wayang baru. Kita tengok sama-sama. Tak payah ajak ayah tu. Huh!" Ibu masih lagi merajuk dengan ayah. Nasiblah ayah dekat rumah nanti. Zarith tak ada nak tolong. La La la.

Aku memeluk ibu dengan erat dan ibu mencium aku bertubi-tubi. Naik lemas pipi aku yang kembung ini dicium. Tolong Zarith! Abang! Kakak! Zarith rindu. Hu hu hu. Ayah yang menghilangkan diri tadi kembali semua. Ibu menarik muncung sedepa. Aku hanya tergelak kecil. Kalau tergelak kuat-kuat nanti bergegar pula tak pasal-pasal. Aku menolak permintaan ibu untuk menolong aku menghantar barang di tingkat dua. Alasan aku nak bersenam bagi kurus sikit badan yang dah rupa macam kapal minyak! Ha ha ha

Oh berlagak ya! Kita tengok nanti Zarith Sofieya!

"Ayah! Jaga ibu elok-elok. Carilah idea macam mana nak pujuk ibu. Zarith takde nak tolong ayah. Siapa suruh ayah sengaja mengusik ibu tadi. Nasib baik ibu dah berhenti menangis tau." Aku memaut lengan ayah. Tuan Besar Zaharul tergelak kecil dan lantas membelai rambut ikalku yang panjang sampai ke pinggang. Ibu memang pantang kalau aku kata nak potong rambut dan secepat kilat ibu membantah. Zarith rimas!

"Tahulah ayah macam mana layan rajuk ibu kamu tu. Ingat pesan ayah Zarith, bersederhana dalam segala hal. Solat itu tiang agama, jangan sesekali kamu abaikan. Bersabar adalah kekuatan orang-orang yang beriman. Ayah tahu anak ayah yang bongsu ini baik hati kan. Kalau ada masalah jangan cepat melatah." Ayah memesan dan mengingatkan aku tentang erti landasan kehidupan. Aku sematkan dalam kotak fikiran. Zarith Sofieya bukan jenis yang lemah! Macam ayah!

Wah semuanya nak sama macam ibulah macam ayahlah. Mengada betul kau ni Zarith Sofieya!

Ayah memelukku dengan erat. Tiada kurang kasih sayang ayah dan ibu antara kami tiga beradik. Cuma aku lebih sikit sebab anak bongsulah katakan. Aku menemani ayah menuju ke kereta Honda Civic berwarna hitam yang diparkirkan berdekatan dengan hostel. Ibu masih seperti tadi, menangis tak habis-habis! Adoi!

Aku melambai-lambai ke arah ayah dan ibu yang bergerak pulang. Waktu lawatan sudah hampir tamat. Aku memandang sehingga kereta milik ayah hilang dari pandangan. Tiba-tiba aku rasa sayu. Hu hu hu... Siapa Zarith nak ajak menyakat?Huwaaa!

Eh! Sekejap! Aku lupa terus siapa akan jadi teman sebilik aku? Orangnya macam mana? Emosional? Baik? Kelakar? Jiwang? Sentap? Arghhhh! Macam mana boleh terlupa pula! Nasib badanlah nanti kau Zarith Sofieya!

"Ibu! Ayah! Huwaaaa!"

04 October 2010

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 2

     ZARITH SOFIEYA merenung tajam diari kecil berwarna ungu gelap di hadapan matanya. Dia membelek setiap helaian kertas yang mencatitkan segala rasa hatinya. Zarith Sofieya tersenyum sendirian dan hatinya berbunga riang. Dia terimbas kembali saat-saat dia dipertemukan dengan Zariff Miqeal sewaktu mereka mendaftar hari yang sama. Zarith Sofieya yang kelam kabut mendaftar berlari tanpa memandang keadaan sekeliling. Dia terlewat bangun sebab terlalu asyik melayan dunia alam maya. Apa yang tidak Zarith Sofieya layan... Facebook, Myspace, Penulisan2u, Blog... semua Zarith layari tanpa bosan. Kadang-kadang ibunya sendiri pelik. Tak penat ke budak ini mengadap komputer siang dan malam? Zarith... Zarith... Hantu komputer betul!

Zarith Sofieya berlari sekuat hati. Bayangkan saiz badan Zarith yang besar itu berlari sekuat hati, tak bergegar ke dewan? He he he. Tapi Zarith Sofieya peduli apa. Dia tetap meneruskan lariannya yang boleh buat orang lain berpeluk tiang takut tergolek. Sehinggalah dia terlanggar seseorang dan membuatkan orang itu jatuh terduduk ketepi. Zarith Sofieya pula tidak mengalami sebarang impak dan masih teguh berdiri. Bahaya betul kalau Zarith Sofieya main sukan ragbi. Boleh angkat bendera pihak musuh!

"Aduh!" Suara garau itu menjerit dan Zarith Sofieya terkedu. Tertunduk wajah jejaka yang dilanggar sebentar tadi. Zarith Sofieya terasa amat bersalah. Jejaka yang tegap pun boleh kalah berlanggar dengan dia.Wah!

Zarith Sofieya menghulurkan tangan untuk membantu. Jejaka itu memandang ke arahnya. Zarith Sofieya terpana memandangkan wajah yang begitu mencarik nalurinya sebagai seorang wanita. Cair hati Zarith Sofieya dan tersenyum-senyum sendirian. Jejaka di hadapannya memandang pelik. Berangan apa pula minah ni?

"Eh! Maafkan saya sebab tak perasan terlanggar awak sampai jatuh terduduk." Zarith Sofieya menyapa lembut. Suaranya ditahan-tahan hingga kedengaran sungguh merdu. Amboi! Kalau bercakap dengan Abang Zarul dekat rumah macam halilintar yang sabung menyabung! Bukan main lagi kau ya Zarith Sofieya!

"Tak mengapalah. Lagipun saya bersalah jugak sebab berjalan tak pandang kiri kanan. Akhirnya saya sendiri yang jatuh terduduk. Nasib baik tak terpelanting jauh. Kalau tidak naya jugak saya." Zariff membalas sopan walaupun ada berbaur sindiran. Zarith Sofieya tersengih bagaikan kerang busuk. Zariff Miqael menepuk-nepuk punggungnya dari kekotoran. Buku-buku yang berteraburan dikutip sat persatu. Dia menghulurkan beberapa buku milik Zarith Sofieya. Kemudiannya Zariff Miqael berlalu pergi.

"Fuhh! Nasib baik aku pandai berlakon. Kalau aku maki hamun dia tadi mau kena tempeleng berdas-das. Gila besar badan dia! Macam bapak gajah pun ada! Ha ha ha. Kalau Ikmal nampak aku jatuh terduduk tadi mesti kena gelak berdekah-dekah. Selamat aku..." Zariff mengomel sendirian. Apabila sudah selesai mendaftar Zariff berlalu mencari Ikmal Firdaus. Mereka berjanji akan bertemu di Kafe Mentari yang tidak jauh dari dewan pendaftaran.

Zarith Sofieya menjadi sudah tidak keruan setelah terpandangkan anak mata yang menggoda milik Zariff Miqael. Dia berkhayal seketika sehingga terlupa tujuannya pagi itu. Puan Besar Zulaikha dan Tuan Besar Zaharul baru sahaja memasuki dewan pendaftaran itu untuk menemani anak bongsunya. Mereka hairan melihat Zarith Sofieya berdiri di tengah-tengah dewan sambil tersengih seorang diri. Mereka menghampiri Zarith Sofieya.

Puan Besar Zulaikha melambai-lambai tangannya di depan wajah Zarith. Namun Zarith tetap sebegitu sedari tadi. Puan Besar Zulaikha memandang wajah Tuan Besar Zaharul. Mereka sama-sama melambai tangan ke arah wajah Zarith Sofieya. Dia tetap sebegitu. Akhirnya Puan Besar Zulaikha mencubit lengan Zarith Sofieya. Tersentak seketika dan terpinga-pinga dia melihat kedua orang tuanya sudah berada di depan mata. Zarith Sofieya menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Kamu ni Zarith Sofieya, berangan tak habis-habis! Sudah mendaftar ke belum?" Puan Besar Zulaikha sudah mula nak mengamuk. Tolong ibu jangan keluarkan syarahanmu yang bertubi-tubi itu. Pengsan anakmu nanti. Ayah tolong Zarith! Aku memandang wajah ayah dan ayah buat-buat tak tahu. Sampai hati ayah tak nak tolong Zarith!

"Err... Belum lagi ibu. Tadi ramai sangat orang beratur. Itu yang Zarith duduk ketepi dulu." Aku buat alasan yang tidak logik langsung! Mana ramainya? Semua orang sudah mendaftar tinggal aku dan beberapa orang pelajar yang masih tercangak-cangak berlegar di dalam dewan.

"Ramai orang? Duduk ketepi? Jangan nak merepek Zarith! Tinggal beberapa kerat aje orang kat depan meja mendaftar tu! Lagi satu kamu berdiri tengah-tengah dewan, bukan tepi dewan! Tersengih-sengih apa benda lah agaknya tadi tu. Sampai ibu dan ayah berdiri depan mata pun kamu tak nampak! Kamu jangan nak macam-macam Zarith! Sini bukan rumah kamu nak berangan tahu..." Habislah... Habislah ibu dah membebel tahap supernova! Kalau berpanjangan memang tak berhenti sampai malam nanti.

"Oh! Ok...ok Zarith pergi daftar dulu. Sudah-sudahlah tu ibu, suara ibu dah kalahkan penyanyi Jaclyn Victor tau. Boleh terkeluar taik telinga Zarith dengar suara medu ibu tau. Kalau macam ni boleh pengsan Zarith tau. Ayah pun boleh berlari masuk dalam kereta tau." Aku mengusik dan melihat Puan Besar Zulaikha sudah membeliakkan matanya. Aku terus melarikan diri dan ayah sempat menghalang ibu dari menyambar tangan aku. Ayah mengajak ibu menunggu di luar dewan. Ibu menghentakkan kakinya. Aku pun kalau geram jadi macam itu. He he he.

Phew! Selamat!

"Maaf Cik... Saya pelajar baru... Di sini ke tempat mendaftar?" Aku berbasa basi dan melontarkan suara seayu seperti tadi. Aku memberikan senyuman comel kepada wanita yang duduk di hadapan mataku. Mukanya tidak manis. Mulutnya mengetip macam menahan kemarahan. Apa kena pula minah depan aku ini? Muka dah cun tapi manisnya tak ada. Parah betul!

"Memang lah sini tempat mendaftar takkan tempat ambil air minum pulak! Sudah lah lewat lepas tu tanya soalan tak bertempat. Pasal kau, aku kena tunggu sampai habis tahu tak! Belum apa-apa lagi sudah datang lewat. Itulah dia pelajar baru yang takde disipilin langsung! Meluat betul aku tengok muka kau ni! Jangan nak tersengih-sengih macam tu depan mata aku! Menyampah tahu!" Pembantu pendaftaran mahasiswa ini membentak nyaring dan membuatkan beberapa pelajar memandang ke arah kami.

Malu aku! Mangkuk tingkat betul minah seorang ini!

"Maaflah... Saya tak sengaja hadir lewat. Sekarang ni saya nak mendaftar. Bukan nak dengar syarahan percuma dari Cik... err... apa nama Cik tadi...?" Aku berani menjawab dan tiba-tiba muka wanita di depan mataku menjadi merah padam. Macam udang kena bakar pun ada! Cuba-cubalah beramah mesra, ini tidak garang macam singa mengalahkan ibu aku yang masih mengancam itu! Huh!

"Oh...Cik Amy Haneyza... Borang semua saya dah siap isi. Segala surat-menyurat saya dah kepilkan sekali. Sekarang saya nak turun tandatangan di mana ye?" Aku berlagak selamba lagi. Wanita muda di hadapan aku sudah merenung tajam macam nak telan aku hidup-hidup! Peduli apa aku! La la la la la!

"Kurang ajar punya badak sumbu! Jaga kau nanti! Kau belum kenal siapa Amy Haneyza! Aku kerjakan cukup-cukup! Sekarang aku lepaskan kau. Ambil ni! Turun tandatangan di situ dan kutip barang-barang kau sendiri dekat bawah meja ni!" Menjerit kecil Amy Haneyza di depan wajahku yang comel ini. Aku mengutip borang yang sengaja di lemparkan ke lantai. Aku turunkan tandangan yang sengaja di tekan kuat pen berdakwat hitam itu. Aku campak kertas dan pen di hadapannya. Aku berpusing dan mengambil barang-barang yang disuruh.

Aku menolak sedikit tubuh langsingnya dan Amy Haneyza terdorong ketepi. Kalau aku sengaja tolak kuat-kuat tadi mahu tercampak keluar dewan nanti! Nasib baik lampu kesabaran aku masih hijau. Zarith Sofieya! Kau seorang yang kentalkan! Kalau tak sia-sia kau belajar silat untuk menahan rasa marah. Setelah selesai aku terus berjalan meninggalkan minah senget yang macam singa lapar tadi. Tiba-tiba aku berpatah semula. Giliran Amy Haneyza pula terkedu! Takut agaknya kalau aku silambam dia! He he he

"Lain kali nak marah-marah orang jangan sampai terpercik air liur. Oh ye lagi satu, malam tadi makan petai ke? Bukan main kuat lagi bau dia. Rajin-rajinlah guna Listerine ye! Menyahkan bau mulut. Terima kasih daun keladi. Harap kita akan bertemu lagi! Bye!" Aku meluahkan rasa hati. Itu baru sikit! Kalau banyak-banyak aku bagi syarahan tadi mahu pengsan minah cantik ini gamaknya. Harap muka sahaja lawa tetapi perangai hodoh! Nasib baik abang Zarul tak ada. Kalau ada mesti minah depan aku ini akan tergedik-gedik!

"Zarith Sofieya!" Kedengaran suara Amy Haneyza menjerit nyaring. Dan aku? Ketawa berdekah-dekah!

"Hambik kau ubat! Tak sia-sia ibu perturunkan ilmunya pada aku! Ha ha ha!"

MESIN PENIMBANG ZARITH SOFIEYA - BAB 1

     ZARITH SOFIEYA masih membungkang di tempat tidurnya. Katil berselerak dengan patung-patung yang sepatutnya sudah boleh dibuang. Apabila Puan Besar Zulaikha ingin mengemas dan mengambil patung-patungya, cepat-cepat Zarith Sofieya  menyambar. Sayang katanya. Pemberian daripada abang dan kakaknya yang sudah berada di luar negara.Hanya patung-patung itu menjadi peneman tidur malamnya. Kalau kakaknya ada, setiap malam Zarith Sofieya akan tidur bersama Zarith Safieya dan bergosip hingga lewat malam. Abangnya Zarul Saifuddin selalu menyindir mereka berdua. Kononnya suka buang masa tidur. Abang memang macam itu! Dengki kalau kakak dengan Zarith bersembang!

Kini tinggallah Zarith bersama kedua Tuan dan Puan Besar di dalam rumah sesebuah yang sederhana besarnya. Mereka tiga beranak yang sering menghabiskan masa bersama. Maklumlah dua orang anaknya sudah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bukannya tak ada tawaran universiti tempatan tetapi kata mereka mesti merebut peluang yang ada. Bukan senang kerajaan nak taja kalau tak dapat keputusan cemerlang. Hanya Zarith yang mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di dalam negara, walaupun dia juga mendapat peluang seperti abang dan kakaknya. Katanya tak mahu berpisah dengan kedua orang tua. Alasan lagi! He he he

"Zarith Sofieya! Sudah-sudahlah tu membungkang macam badak sumbu! Sakit mata ibu tengok! Cuba-cubalah bawak mandi, lepas tu tolong ibu apa-apa yang patut. Ini tidak memerap dalam bilik sampai matahari dah terpacak. Anak ibu seorang ni memang manjanya dah melampau tau!" Itu dia Puan Besar Zulaikha sudah mula bersyarah. Aku yang masih terpisat-pisat membuka mata sambil tangan melekap di cuping telinga.

"Ibu ni...bising tau. Zarith baru aje nak termimpikan putera raja ajak pergi tengok wayang. Ibu datang terus potong!" Aku dengan selamba merungut. Tiba-tiba terlihat seperti asap sudah berkepul-kepul di kedua belah telinga ibu. Opsss!

"Apa Zarith cakap? Ulang sekalil lagi! Ibu tak berapa nak dengar!" Puan Besar Zulaikha sudah mengeluarkan garpu gergasinya menarik cuping telinga aku. Apalagi mengaduhlah aku menahan sakit. Dahsyat betul Puan Besar Zulaikha ini! Kalau abang Zarul ada mesti dia ketawakan aku  tahap orang sakit mental!

"Aduh! Sedaplah ibu tarik cuping Zarith! Esok-esok menggeleber cuping telinga Zarith baru ibu tau... Lepas tu takde siapa nak  kahwin dengan anak ibu seorang ni tau. Nanti ibu juga yang susah tau." Aku mengajuk lenggok arwah P. Ramlee mengejek kata-kata Datin Sarimah dalam filem Tiga Abdul.

"Jangan nak mengada-ngada! Bangun sekarang! Orang lain pun bercuti jugak! Tolong jugak mak-mak diaorang mengemas, memasak, membasuh dan buat apa-apa yang patut. Zarith?Apa yang Zarith buat?" Membebel tahap gaban ibu aku ini. Pedas telinga dengar bebelan maut ibu.

" Zarith tolong buat taik mata kering... He he he." Masih lagi nak buat lawak tapir si Zarith Sofieya ini! Silap haribulan Puan Besar Zulaikha buat kungfu kuntau baru padan muka! Jangan dibuat main kalau Puan Besar Zulaikha sudah mengamuk besar. Alamat bergegar isi ruang rumah mendengar tempikan Puan Besar Zulaikha. Sampai hujung taman pun boleh dengar suara soprano Puan Besar Zulaikha. Betul-betul dahsyat!

"Zarith Sofieya! Ibu arahkan bangun dan pergi mandi sekarang! Nak ibu siram Zarith dengan air mop lantai dapur yang ibu kerjakan pagi tadi?" Amboi main ugut-ugut pula ibu aku ini! Aku yang mendengar ugutan itu terus automatik bangun dan mencapai tuala yang dijemur hujung kepala katil. Aku berlari ke dalam bilik air sambil mengejek ibu.

"Tau pun takut! Lain kali buat lagi macam tu. Ibu siram terus!"
    
"Ibu memang sengaja usik Zarith. Bluekkk!" Terjelir lidah aku. Manjakan! Perasan!

"Kerat lidah tu baru tau. Hilang lidah langsung tak boleh bercakap tau. Ibu pun senang hati tak dengar lagi alasan merepek Zarith tau. Aman rumah ni nanti tau." Eh! Ibu pula yang mengajuk cakap arwah P. Ramlee? Patutlah perangai aku dengan ibu sama. He he he.

"Yelah tau. Zarith nak mandi lah ni tau. Lepas mandi Zarith tolong ibu kemas rumah tau. Nanti kita keluar pergi tengok wayang tau." Aku buat serangan balas. Ha ha ha

"Tengok tu! Dia kenakan kita pulak. Dah-dah! Pergi mandi. Lagi lama layan Zarith, ibu boleh kena serangan jantung." Ibu mengalah akhirnya. Aku memperolehi kemenangan yang pertama! Eh! Eh! Macam dialog cerita Nujum Pak Belalang pula! Aku berpaling meneruskan tujuan aku iaitu bersiram bagaikan puteri raja dalam istana! Ewah!

Puan Besar Zulaikha hanya menggeleng. Hidupnya akan sunyi kalau Zarith Sofieya pulang ke hostel di Kolej Tunku Abdul Rahman. Usikkan daripada anak bongsunya membuatkan dia rasa terhibur. Tetapi hatinya bimbang akan keadaan saiz badan Zarith Sofieya. Sudah puas memujuk agar menurunkan berat badannya dan seperti biasa Zarith Sofieya akan memberi berbagai-bagai alasan. Pernah sekali Puan Besar Zulaikha mengajak anak bongsunya mengikuti kelas yoga tetapi di tolak mentah-mentah. Katanya boleh buat patah tulang belakang! Entah dari mana agaknya si Zarith Sofieya dengar. Ish ish ish.

Tuan Besar Zaharul sudah berulang kali menasihati Puan Besar Zulaikha agar tidak memaksa anak bongsunya menguruskan badan. Dia percaya suatu hari Zarith Sofieya akan jadi kurus bila tiba masanya nanti. Puan Besar Zulaikha menarik muncung sebanyak empat belas inci. Proteslah itu! Hu hu hu

Zarith Sofieya tidak pernah peduli akan saiz badannya yang agak besar. Bagi dirinya buat apa nak kurus-kurus sampai boleh membahayakan kesihatan. Asalkan sihat sudah. Walaupun sebesar badan Zarith Sofieya, dia bersykur sebab tidak menghidap penyakit yang berbahaya. Selalu dia di temani Puan Besar Zulaikha membuat pemeriksaan rutin di klinik yang berdekatan. Zarith Sofieya selalu merungut dan diikutkan juga sebab tak tahan dengar bebelan maut Puan Besar Zulaikha. Padan muka aku! Ho ho ho

Kalau keluar menonton wayang bersama abang dan kakaknya, tiada siapa yang berani nak kacau. Zarith Sofieya berlagak sebagai pengawal peribadi. Pernah sekali beberapa orang pemuda mengusik kakaknya ketika mereka keluar berdua membeli barang dapur. Zarith Sofieya menunjukkan penumbuk dan membuatkan pemuda itu terus beredar. Cuba bayangkan penumbuk Zarith Sofieya tu sebesar mana? Boleh tengglam muka orang kalau kena tumbuk! Wah! Besar betul tangan kau Zarith! Kus semangat!

Zarith Sofieya tidak pernah bersungut atau berkecil hati kalau orang mengejek tentang saiz badannya. Dia malas nak ambil pusing sebab nanti diri sendiri yang sakit hati. Dia sengaja buat pekakkan telinga macam tak pernah dengar apa-apa. Zarith Sofieya ni kental juga rupanya! Kalau orang lain agaknya dah menangis-nangis dalam tandas sampai boleh habis tisu segulung! Itu menangis ke apa? Ha ha ha

Itulah Zarith Sofieya Binti Zaharul, merupakan seorang remaja yang berfikiran positif dan tenang. Kalau dia mengamuk, memang boleh runtuh Kolej Tun Abdul Rahman gamaknya. Buat masa ini tahap kesabaran Zarith Sofieya masih lagi lampu hijau. Agak-agak siapa yang berani buat lampu kesabaran dan ketenangan Zarith Sofieya menjadi merah ya?

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*